Selasa, 30 Mei 2017

jurnal ringkas KJ


Hari ini 30 Mei 2017. 4 Ramadhan. Sudah dua minggu berlalu sejak pelatih Program Latihan Khidmat Negara  (PLKN) Kem Kampung Sungai Tiga menamatkan latihan.

Lapan minggu yang meletihkan.

Secara kasarnya aku melihat semua orang keletihan dan kepenatan sepanjang pelatih berada di dalam kem. Tak kiralah jurulatih ataupun staf pengurusan. Semuanya seakan tidak sabar lapan minggu itu berakhir.

Kepenatan itu mungkin kerana sudah lama tidak menerima pelatih. Dan kebiasaannya apabila tiada pelatih, beban tugas dan kerja tidaklah begitu memenatkan. Tapi menjengkelkan (Jejak Alumni). Okey, aku tidak akan bercakap pasal itu.

Lets go to the title.

Sejak Januari, secara rasminya aku diberi tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih (KJ). Jujur aku katakan, aku langsung tidak terkejut. Memang besar harapan dihati agar bukan diri ini penggalas tugas itu, tapi sepertinya aku sudah begitu bijak membaca percaturan Timbalan Komandan Latihan (TKL) kami. Tiada apa yang aku boleh katakan sangat diawal perlantikan aku, cuma aku pohon kepercayaan dan juga semoga tiada yang menyesal diatas pemilihan ini.

Tahun ini, tanggungjawab KJ agak berat sedikit. Kalau dulu, KJ terbahagi kepada dua orang, KJ Multiskill dan KJ Fizikal. Mengikut bidang tugas masing-masing. Selepas pengenalan PLKN 2.0, sistem KJ di kem aku bertukar kepada KJ Group D1 dan KJ Group D2. Waktu itu, aku menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Jurulatih (TKJ).

Strategi ini berubah kepada hanya seorang KJ pada tahun ini. Dan yang seorang itu adalah aku.

Sebagai seorang yang bermula dari bawah dan melihat pelbagai ketidakcekapan dan sedikit berat sebelah pada corak mana-mana pimpinan sebelum ini, aku sedaya upaya cuba mengubah ‘dayungan’ itu. Syukur juga, TKL banyak memberi aku peluang untuk menentukan corak sistem yang aku pilih walaupun acap kali terpaksa berdebat untuk mendapatkan apa yang aku mahu. Terkadang aku lihat, dia agak curiga. Namun, ada masanya dia jugalah tempat aku menghambur rasa tidak puas hati. Seperti dia yang terkadang tidak bersetuju dengan aku, begitu jugalah aku yang banyak kali tidak bersetuju dengannya. :p. Tapi seperkara yang aku jelas dengan TKL ini ialah, objektif kami sama cuma pendekatan yang berbeza.

Hendak dijadikan cerita, bagi memudahkan aku, Asrab dilantik sebagai TKJ. Agak sukar untuk aku mendapat rentak keserasian dengan Asrab pada mulanya kerana karakter kami yang kedua-duanya adalah audio (pendiam dan pendengar). Tapi, suka untuk aku memuji Asrab yang selalu saja menjadi silent weapon aku dikala aku memerlukan bantuan. Asrab memang seorang supporter yang baik. Dia tidak over take pimpinan tapi menggunakan aku untuk menadah segala idea yang dia ada. Kami saling tahu dan menutupi kelemahan masing-masing.

Jujur, sepanjang lapan minggu aku terlalu penat. Banyak perkara yang terlalu tertumpu kepada aku. Keadaan itu, menghalang aku untuk turut sama dengan jurulatih lain berada dalam kelas untuk menyampaikan modul kerana aku lebih banyak diperlukan dari segi merancang dan mengatur. Kecewa juga sebenarnya kerana passion dalam diri ini lebih kepada berada di dalam kelas untuk berkongsi dan menyampaikan nilai. Tapi ianya tersekat kerana title KJ.

Apa yang lebih membuatkan hati ini agak sedih sedikit apabila rakan jurulatih memohon supaya aku menjadi ‘back up’ semasa di dalam kelas. Dalam hal ini timbul satu persoalan di dalam kepala. Mungkinkah mereka menyangka aku sedang tidur apabila aku tiada di dalam mana-mana kelas?

Cukup mereka tahu, sepanjang lapan minggu kepala aku sentiasa ‘aktif’ walaupun dalam tidur. Bermula 6 pagi sehingga 6 petang, aku tidak akan tidur dengan lena tanpa mengetahui apa-apa perkara yang sedang berlaku.

Ada beberapa visi yang aku letakkan sebagai penanda aras untuk aku capai dan tahu keberkesanan pimpinan aku sepanjang lapan minggu. Pertama, aku mahu beban tugas semua jurulatih tergalas sama berat disetiap bahu. Tapi aku mula kesalkan Amir. Sebagai penyelaras Fit4Life Outdoor, Amir akan turun untuk PT Pagi setiap hari. Walaupun penggiliran dia yang seterusnya adalah pada jam 2 petang, namun Amir kerap masuk ke kelas sebelum pukul 10 pagi. Pada sebelah petang pula, dia jugak yang in charge riadah. Bukan tidak boleh berikan tanggungjawab itu pada yang lain, tapi mungkin rasa kebertanggungjawaban itu tidak sama.

Dalam pada ramai orang rasa jengkel dengan sikap Romzi, ada seperkara yang aku nampak positif apabila Romzi menjadi penyelaras Fit4Life Millitary. Dia bertanggungjawab ke atas modul yang dia selaraskan. Malah, dokumentasi kehadiran pelatih dan rekod grounding debrief juga dia lengkapkan dengan baik. Memang ya, pada mulanya aku tidak memilih Romzi tapi Asrab yang mahu aku berbuat demikian.

Aku mengkagumi hasil kerja Azean, Asmanah dan Badron. Sangat detail dan complete. Sentiasa melebihi jangkaan. Mungkin Azean dan Badron agak lemah dalam karakter unite dalam team tapi aku melihat mereka sebagai supporter yang baik. Asmanah pula sentiasa tahu objektif modul dan berusaha sehabis baik bagi mendukung modul.

Suriani. Sudah lama dia memegang tugas sebagai setiausaha. Seperti dia yang bosan dengan tugas itu, aku juga merasa jengkel dengan TKL yang tidak mengubah posisi dia sejak dua tahun. Memang aku berhajat besar untuk keluarkan dia dari kebosanan itu. Dan positifnya, dia melaksanakan tugas sebagai penyelaras dengan baik malah tidak keberatan sekiranya dikekalkan dalam posisi itu.

Neena pula sentiasa lembut dan dan dedikasi dalam menyelaras modul Malaysiaku dan Be Safe Be Alert. Rasanya, tidak banyak yang ingin aku ulas tentang Neena sebab dia melakukan tugas dengan baik. Aku gembira apabila dia menempelak Ketua Unit Disiplin dalam mesyuarat Latihan yang terakhir kerana melaksanakan fire drill tanpa mengambil kira jadual latihan yang sedang berlangsung.

Keadilan. Itulah visi utama yang aku ingin capai. Rasanya visi itu ‘on track’ sepanjang lapan minggu. United. Itu visi yang kedua. Dan itupun mula menampakkan hasil. Aku tidak nampak puak puak jurulatih sepanjang lapan minggu ini.

Asam garam menjadi KJ. Sungguhpun dalam kepenatan itu ada waktunya aku rasa ingin menjerit dan menghambur rasa geram, tapi seringkali ada rakan jurulatih yang mengambil berat perihat kebajikan aku. Terima kasih.

Aku tidak pasti samada sistem pelaksanaan yang aku usulkan ini disukai ataupun tidak. Aku juga tidak pasti adakah rakan-rakan jurulatih suka dengan cara pimpinan aku. Atau mungkinkah dalam tidak sedar, aku telah meninggalkan luka dihati sesetengah pihak.

Percaya atau tidak, sehingga hari ini aku masih memikirkan apakah ralat-ralat yang aku temui sepanjang lapan minggu itu. Termasuklah sistem penggiliran buddy, duty dan kemahiran aku sendiri sebagai jurulatih.

Entah kenapa semua ini masih berlegar-legar di dalam kepala. Seperti ada yang aku belum tamatkan. Atau mungkin juga aku terlalu ingin sudahi semua ini dengan kesempurnaan.

Rasanya tidak begitu. Aku cuma mahu meninggalkan legasi dalam pimpinan kumpulan. Apabila tampuk pimpinan ini bertukar tangan, aku mahu tinggalkan rujukan. Sesuatu yang baik yang telah aku hasilkan masih diguna pakai dan ditambaik untuk keberkesanan sejagat.

Terima kasih untuk peluang ini.

Aku berharap, bukan aku lagi. Tapi seandainya masih aku, aku janji tidak akan larikan diri. Aku disini. Untuk semua perkara yang bermula dengan kata ‘Demi…’.

p/s; semoga lepas ini, kepala aku 'bebas' dari cerita lapan minggu itu.

Tiada ulasan: