Isnin, 30 Januari 2017

bidadari hatiku yang pemurah

Kadang bila hati kita tersadung barulah jiwa kita bernyawa untuk menulis. Dan aku tuliskan ini buat kau adikku BDJ.

Pagi tadi aku bangun dengan mata yang bengkak. Sebaik membuka mata, fikiranku kembali waras mengingat setiap bait kata-kata hinamu buat aku. Walaupun sejujurnya aku sedih kerana setiap kata-kata kasar itu keluar jelas dari bibir engkau yang dulu selalu memberikan semangat buat aku, namun aku tetap berusaha menerima semua itu sebagai ‘ganjaran’ setimpal atas perasaan aku yang tidak adil buat kau.

Aku duduk di tepi katil melihat ke cermin. Dan mataku tersorot pada gambar dedikasi yang kau hadiahkan buat aku.  Aku tatap setiap satu sentuhan kreatif kau. Hadiah paling bermakna diantara semua.  Aku yakin, kau meletakkan kasih sayang kau sepenuh hati sepanjang menyiapkan hadiah itu.

Hampir sembilan bulan aku sembunyikan kebenaran. Aku bermain disebali kata untuk menjaga hati dan tidak membuat kau curiga. Tapi, kau tetap kau. Kau selalu tahu ‘menghidu’ gerak geri aku.

Sehingga saat kau melangkah meninggalkan aku, aku masih kaku sebagai pengecut. Aku tidak mahu kau pergi. Tapi aku juga tiada jaminan untuk tidak membuat kau sakit hati lagi. Selagi hati ini milik dia, selagi itu kau lah mangsa layanan perasaan zalim ini.  Maafkan aku.

Kau pergi dengan pesan. Kau pergi dengan rasa kecewa didalam dada. Aku? hanya diam tak terkata. Aku membiarkan rahsia kekal rahsia. Cukuplah kau rasa dipersia. Cukuplah .

Walaupun dihujung kata saat ini kau terlalu benci aku. Hanya satu yang aku ingin kenang, kau adalah antara manusia yang selalu ada untuk ‘menyambung nyawa’ aku ketika aku terduduk putus asa. Kau sentiasa ada malah sanggup bangun dari lena ketika mendengar suara sedih aku dihujung talian. Kau bukan siapa-siapa. Kau hanya Bidadari Hatiku Yang Pemurah. Ingat itu selalu.

p/s; aku doa masa merawat luka dan menyebelahi kita.

Khamis, 5 Januari 2017

5hb kita yang ketujuh

Tujuh.

Thank you.

Tidak tahun untuk bermula dengan perkataan apa. Sebaik selesai menyelesaikan tugas, aku duduk disatu sudut mengeluarkan labtop dan menaip ini.

You know what Sayang…? Saat pertama kali aku mengenal engkau, aku tidak pernah menduga kau akan sebegini penting dalam hidup aku. Aku tidak pernah menjangka, hati aku begitu dekat sekali dengan engkau. Dengan cara kita saling berkomunikasi dan melayani satu sama lain, aku sering merasakan engkau begitu tahu tentang aku walaupun adakalanya aku mahu dilayani dengan cara yang lain.

Kau tidak sempurna. Sungguh. Malah ada masanya, menyakitkan hati pula. Jelas. Terfikir aku mengalah.

Namun, acap kali aku memikirkan semula posisi ‘buruk’ engkau, mampukah aku menemukan posisi ‘baik’ itu dari insan lain? Dan mengapa juga kita mengalah dengan hanya sakitnya sedikit langkah jika dihadapan mungkin lebih banyak yang indah? Dan mengapa pula seringkali kita bertelagah pada perkara yang mentah-mentah?


Jawapannya, kerana kita (atau hanya mungkin aku) takut pada kehilangan.

Andai kita sedang berdepan dengan satu ketakutan, ingatlah melalui dua keberanian (kau dan aku), ketakutan itu akan kalah.