Jumaat, 22 Julai 2016

tentang kau

Sugul aku terkaku. Diam-diam aku keliru. Diam-diam aku buntu. Dalam-dalam aku ingin tidak ambil tahu. Tentang kamu.

Tidak kah kamu terasa letih untuk terus memenangkan ini? Tidakkah kamu rasa teringin memenangkan hati sendiri? Mungkinkah aku terlalu kejam untuk kamu? Aku rasa begitu.

Cinta. Aku pilih dia. Sebab hati aku yang berkata itu. Walaupun bukan aku yang duluan tapi aku selalu merasa dipentingkan. Dan sang teman hanya berpegang kepada satu kemungkinan.

Antara ribuan nyawa, kenapa jiwa aku yang telaah? Arggh. Dasar pentingkan diri. Sudah kau rasa hebat cinta, dan sekarang kau mempersoal pula.

Antara masa yang berlarian didepan aku, aku cuma ingin menangkap masa tentang kita. Masa dimana kita menempuhinya dengan gagah. Meminggirkan segala aturan dan fitrah. Menepis panah-panah yang juga cuba memburu kita.

Terkadang aku merasakan percaturan ini tidak adil.  Tapi aku akur ianya begitu. Seperti yang aku prinsipkan, ‘yang penting itu adalah perjalanan bukan destinasnya’.


Semoga perjalanan ini lebih jauh. Supaya aku lebih lama bersama engkau. Semoga saja bisa.

Selasa, 12 Julai 2016

tak perlu bermadah

Andai saja kalian terlupa tujuan blog ini buat aku, sila rujuk banner di atas. Rujuk dan fahamilah bahawa setiap perkara yang aku ingin luahkan disini adalah antara perkara yang aku temui sukar untuk aku lafazkan lalu aku memilih untuk coretkan disini. Andai saja kamu enggan dengan madah hamparan hati beta, usah ambil masa terlalu lama untuk mengetik ruangan ‘pangkah’ lalu tinggalkan halaman ini dengan penuh minat tidak ingin tahu.

Sudah detik-detik sebegini aku masih berjaga dengan secawan kopi. Berjaga dengan harapan malam tidak berakhir begini. Nampaknya malam ini adalah antara malam-malam yang hampa dan duka. Aku akan belajar untuk bersedia dan cuba untuk kelihatan lebih bersahaja dengan ungkapan ‘tidak mengapa’.

Aku adalah aku. Mencintaimu juga adalah aku. Aku yang rumit. Yang kau akan penat. 

Perasaan sakit ini hadir dengan pakej perasaan aku untuk kamu. Dari perasaan ini aku hanya ingin tulus meluahkan segalanya dengan sedikit harapan kamu akan selalu ingat dan semakin mengerti aku. Tapi aku dapati kamu semakin lelah. Terkadang aku rasakan kamu lebih memilih untuk rebah berbanding cuba memaut aku berdiri tenang. Dan kamu katakan itu keinginan aku. Tidakkah kamu tahu aku sedang takut?

Paling jujur aku ingin katakan, aku juga benci perasaan ini. Perasaan yang melahirkan lebih banyak soalan-soalan negatif. Usahlah hembuskan keluhan yang jelas-jelas mendebarkan aku untuk terus memperlihatkan diri aku. Aku takut. Sudahnya, perasaan ini aku telan sahaja. Tidakkah kamu tahu setiap amukan aku akan reda dengan pujukan kamu? Pujukan penuh cinta.

Aku akan mula membiasakan bahawa masa turut mengubah cara. Semakin indah atau semakin tiada. Satu perkara yang aku akan belajar lagi untuk esok.

Kekal bertahan. Ungkapan keramat ini akan sejauh manakah mujarab untuk memujuk hati yang lara? Ajarkan aku bertahan pada cinta yang tidak memerlukan dua pasang tangan. Ajarkan aku bangun untuk melawan bila kita dikelirukan oleh perasaan. Ajarkan aku untuk kekal kuat tatkala aku semakin hilang kudrat.


Andai saja aku bukan watak utama dalam cerita ini, mohon segerakan sang pencinta. Agar terlihat jelas oleh hati yang buta. Tentang siapa aku, kau dan dia. Agar semua watak akan gembira.

Selasa, 5 Julai 2016

5hb kita yang pertama


Aku ingin katakan kehadiranmu satu anugerah, tapi bunyinya biasa-biasa. Aku ingin katakan kehadiranmu sungguh istimewa, tapi bunyinya seperti tiada makna. Aku sebenarnya kebuntuan madah terindah untuk aku luluhkan hatimu dihari bahagia kita. Lalu aku tuliskan entri ini untuk katakan apa sahaja yang terlintas dihati ini buat kau yang tersayang.

Kedengarannya mungkin seperti geli-geli buat mereka yang asing dengan cerita kita. Tapi aku yakin, kau akan senyum membaca ini. Senyumanmu yang cukup istimewa. Persetankan mereka. Sebab entri ini buat kau seorang walaupun mungkin beribu yang membacanya.

Terima kasih. 
Ungkapan ini terlalu sangat biasa buat semua. Namun magisnya setelah apa yang engkau tadahkan buat aku, itu sungguh luar biasa sayang. Mana mungkin mudah untuk kau tetap percaya pada perasaan cinta ini setelah engkau tahu siapa aku dan cerita aku pada awal-awalnya. Tidak akan sekali-kali ini terjadi dengan sekelip mata tapi apa yang kau letakkan tinggi buat aku itu adalah percaya dan berusaha untuk tetap setia. Pastinya sukar untuk menepis rasa cemburu yang acap kali datang menghantui. Sekali lagi, terima kasih.

Maaf.
Ungkapan ini sememangnya mudah untuk dilafazkan. Namun magisnya tidak hanya terletak pada makna kita mengaku salah tapi indahnya maaf ini terletak pada hati insan yang berusaha kuat untuk memberi kemaafan itu. Mana mungkin mudah untuk tetap melentur hati yang ego setelah diri sendiri disakiti. Kau punya pengertian yang dalam sehinggakan mudah untuk kau membaca apa mahuku. Kau menjadikan tenang itu sesuatu yang aku sentiasa akan ada. Memenangkan aku selalu bukanlah perkara yang kau suka namun jauh-jauh aku mengerti sebenarnya kau hanya mahu memenangkan hubungan kita. Sayang, aku mohon maaf sampai bila-bila.

'Seandainya cinta kita ini bisa diberikan nama, maka 'selama-lamanya' adalah pilihanku sayang.'

Andai saja cinta ini terjamin kekal selama-lamanya, maka aku akan berhenti dari meminta apa-apa sayang. Dan justeru tanpa jaminan itu, aku berjanji untuk kekal bertahan.

Keep holding on. 

Ahad, 3 Julai 2016

cinta tanpa syarat



Mencintaimu menjadikan perasaan ini jahat. Aku tamak pada kasih sayang engkau. Aku tamak pada perhatian engkau. Aku tamak pada masa kita. Aku mudah terkesan dengan setiap kesilapan kecil engkau. Malah, cinta ini menjadikan aku ingin menguasai dunia ini buat engkau sayang.

Aku mula mempertikai perkara remeh yang tidak aku pernah aku endah. Aku meluah pada perkara yang aku tidak gemari. Sedikit pun aku tidak simpan rasa tidak puas hati demi menjaga hati engkau. Aku sedang mula belajar itu namun aku masih amatur. Terlalu amatur.

Cinta itu sepatutnya tanpa syarat. Dan semua ini bukan syarat sayang. Aku pasti tentang ini. Bagiku,  cinta ini syaratnya hanya satu. Kau dan aku kekal saling mencintai. Hanya kau dan aku. Aku ulang ya sayang? Hanya kau dan aku.

Aku enggan melihat bayangan sesiapa dalam kisah ini. Kisah yang singkat ini biarkan warnanya hanya merah, hijau dan merah jambu. Tak perlukan warna lain. Warna yang bukan kita.

Sungguhpun begitu, dalam kedegilan aku ini kau masih tabah melayani apa mahuku. Mengujar aku dengan lembut dan berkata semua ini tidak apa. Saat engkau memujuk aku untuk reda dalam pelukan engkau dan sebisa mampu mengembalikan senyum aku, aku rasa bahagia. Teramat bahagia.

Sayang, aku ingin adil pada hati engkau. Adil dalam menatang kasih ini. Aku mahu kau tahu bahawa aku juga jengkel pada perasaan jelek ini. Aku gusar andai engkau lelah dengan semua ini lalu semuanya berantakan hanya kerana kedegilan aku.