Isnin, 27 Jun 2016

maaf sayang

Menarik nafas sedalam-dalamnya dan berfikir sewaras-warasnya sebelum aku mengambil keputusan untuk mengetik papan kekunci labtop ini. Takut-takut apa yang bakal aku luahkan datangnya dari perasaan yang gundah. Perasaan yang mahu menang dengan akal rasional.

Moga-moga tidak begitu.

Sayang.

Yah. Kau sayang. Entri ini buat kau.

Membiarkan hati ini kau curi adalah pilihan aku. Mengizinkan kau menjadi pelengkap hati juga adalah pilihan aku. Tak akan pernah aku kesali itu.

Aku tidak akan pernah menjadi lebih dari apa yang aku mampu. Malah kita membebaskan diri masing-masing kekal sebagai diri masing-masing tanpa kita ingin mengubah identiti satu sama lain. Hanya kecuali untuk memperbaiki mana yang boleh.

Melihat kau dilebihi insan lain, aku sudah cukup sakit. Aku pendam dalam kerana aku melihat diposisi ini aku yang salah. Kerana aku akur akan keterbatasan aku melengkapi kau dan kelewatan aku hadir dalam hidupmu. Namun, paling aku syukuri kerana kau masih memilih aku. Dan kita saling memilih kemahuan hati ini. Sering kali aku melihat keserasian kita sebagai satu perkara yang istimewa.

Semalam. Arghh. Andai saja seumur hidup aku, saat yang semalam mampu dinyahkan, aku akan pilih hari semalam agar tiada. Saat aku sudah tidak mampu mengawal apa-apa dan rasanya ingin membunuh siapa-siapa. Dan kau sayang, dengan sekuat hatimu melawan sakit sendiri masih mahu mengembalikan semuanya agar tenang. Memujuk aku dengan lembut. Rasanya tempat yang  paling tenang adalah berada disampingmu. Tempat yang aku akan lelap tanpa mimpi. Lelap yang indah kerana kau ada.

Sayang.

Seperti aku, kau tidak akan pernah memilih untuk menyakiti aku. Sungguhpun ianya terpaksa, aku tahu kau tetap mencuba. Disebabkan tak pernah penat engkau mencuba itu membuatkan aku selalu gembira dan bahagia. Tapi, terasa ada yang tak kena. Aku melihat aku sebagai insan yang jahat. Yang tamakkan engkau. Kerana itu, aku mungkin dan jelas telah menyakiti kau.

Keep holding on. We will fight and defend. Just stay strong.

Melihat kau sakit, membuatkan aku kesal. Kesal kerana akulah yang menyakiti kau. Kesal kerana mungkin percaturan ini silap langkahnya. Aku takut. Sangat takut sehinggakan aku memilih untuk berdiam dan berperang dengan diri sendiri.

Andai saja satu saat aku enggan bangun lagi, katakanlah pada aku kita sedang menyelusuri terowong yang gelap gelita. Terowong yang panjang dan menakutkan hingga kita sangat mahu berpatah balik. Katakanlah kepada aku bahawa kita hanya perlu meneruskan langkah dengan berani kerana pasti akan ternampak cahaya itu dihujungnya nanti. Katakanlah kepada aku bahawa kita akan sentiasa sama-sama. Sehingga penghujungnya.

Sayang.

Sesungguhnya kata maaf kita mungkin sudah tiada harganya. Tapi dengan maaf, aku percaya kita masih mahu mengaku salah dan tetap mencuba. Dengan kata maaf kita sedar hati kita sedang dipujuk. Setidaknya, kita memilih untuk tidak berhenti.


Maaf sayang.

Khamis, 9 Jun 2016

rajuk dan lena

Cinta menurutku,
sekalipun cinta telah kuhuraikan dan kujelaskan panjang lebar.
Namun jika cinta kudatangi aku jadi malu pada keteranganku sendiri.
Meskipun lidahku telah mampu menghuraikan dengan terang.
Namun tanpa lidah,
Cinta ternyata lebih terang
Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya
Kata-kata pecah berkeping-keping begitu sampai
Kepada cinta
Dlam menghuraikan cinta, akal terbaring tak berdaya
Bagaikan keldai terbaring dalam Lumpur
Cinta sendirilah yang menerangkan cinta,
Dan percintaan!

-dari novel kegemaranku, KCB

Saat-saat yang kita luangkan bersama untuk bicara, senda dan tawa tak pernah aku merasakan masa itu tidak dengki. 

Menunggu kamu menjadikan aku setia. Namun kamu nekad membiarkan aku sebelum sempat kamu tahu aku sedang berkecil hati. Lalu aku sendirian memujuk hati ini dan berharap semua ini tak mengapa.

Lena lah sayang. Ambil ketenangan itu semahu mu. Izinkan hati ini menikmati dan melawan sakitnya. 

Kalau saja kamu mengerti sedikit dan memahami kuat pesanku tadi, mungkin hujung malam ini tak perlu begini. Namun kau tidak. Mungkin juga enggan. 

Aku tidak berjanji untuk menyuarakan soalan perasaan ini lagi walaupun perlu perit. Mungkin sesetengah soalan lebih baik kekal sebagai soalan. 


Isnin, 6 Jun 2016

sahabat unikku, Angel

Ketika aku sedang rancak mengetik papan kekunci mencari lagu untuk dimuat turun, aku didatangi dengan mesej whatsapp dari Angel yang berbunyi, ‘Salam Yul. Yuyul sayang saya?

Tidak cukup dengan itu, dia turut mengirim gambar kami berdua yang diambil sebaik majlis perasmian pembukaan PLKN baru-baru ini tamat.

Lama aku menatap gambar itu. Dengan mata yang berkaca-kaca sepertinya aku tidak pernah melihat gambar kami berdua sebelum ini.

Angel sahabatku, sudah lama aku ingin menulis ini buat engkau namun sering saja kemalasan dan kebuntuan aku mengatur ayat menjadi alasan. Dan sekarang, aku kira inilah waktu berkualiti yang aku ada untuk aku coretkan tentang kau.

Tahun 2013 kau muncul sebagai jurulatih baru di kem kita. Lagakmu yang agak pelik membuatkan aku tidak menjangka persahabatan kita akan sampai ke tahap ini.

Ingat lagi tak disebabkan kau, aku dan Sai terpaksa pindah dari bilik berdua ke bilik panjang sebagai roommate kau? Cerita kita bertiga bermula disitu. Di dalam ruangan bilik panjang itu banyak sekali memori yang kita lakarkan.

Ingat lagi tak, saat-saat aku dan Sai sering menyakat kau dengan pelbagai cara untuk menimbulkan rasa cemburu kau terhadap kami? Sehingga ada masanya kau menarik muka dan merajuk namun kami masih setia menyakat dan kian menghambur ketawa jahat.

Ingat lagi tak, saat-saat aku diserang demam batuk dan kau meletakkan sebotol mineral 1.5 liter dalam pelukan aku sambil berkata, ‘Yul, jangan sakit daaaaa’?

Ingat lagi tak, saat-saat aku sedang lapar dan malas untuk ke dewan makan, kau setia membungkus makanan buat aku dengan senyuman?

Ingat lagi tak, saat-saat aku marahkan kau dan bersikap dingin kau datang kepada aku sambil memanggil aku dengan lembut namun aku keras mencengkam ego? Kau katakan kepada aku, ‘Yul, kau masih marah saya?’. Aku hanya memandang muka kau sekilas sambil berkata, ‘Ya.’ Dengan wajah mengharap simpati kau menyambung kata, ‘Sampai bila lah kita macam ni?’. Kau berlalu selepas menunggu lama tanpa balasan aku.

Ingat lagi tak, saat-saat kau bercerita dengan penuh semangat tentang BSKN dan aku hanya mendengar acuh tak acuh? Dan akhirnya kau menarik aku untuk jatuh cinta pada BSKN.

Angelina. Kau adalah sahabat aku yang sering aku kritik hebat. Malah aku sentiasa tulus dalam membimbing kau. Sering kali jugak kau menjadikan aku keutamaan dalam setiap perkara. Mengharap dan mendengar nasihat aku seolah-olah aku sentiasa betul. Seringkali juga aku memperlihatkan sisi terjelek aku agar kau menjauh dan putus asa dalam persahabatan ini. Namun disetiap kecacatan yang aku hamburkan, kau tampil dengan kelembutan yang kau hampar lebar buat aku. Malah, saat-saat aku tidak mahu lagi bangkit mencuba apa-apa, kau antara sahabat aku yang mempercayai aku lebih dari aku mempercayai diri aku sendiri. Kau adalah antara x-factor yang menyebabkan aku berani untuk berdiri semula.

Atas apa yang telah kau lakukan membuatkan aku sering bertanya, ‘Lot, kenapa kau baik sangat dengan saya walaupun saya jahat dengan kau?’ Kau selalu bersahaja dalam memberi jawapan, ‘Saya mewarisi sifat terpuji mamy saya.’ Bagi aku, itu bukan jawapan untuk soalan aku. 

Seringkali kami sebagai rakan pasukan melihat kau sebagai ahli yang pelik. Namun keakraban ini telah membuatkan aku melihat kau sebagai sahabat yang unik. Kau sentiasa lain dari yang lain. Sentiasa istimewa dengan caramu yang tersendiri. Orang lain hanya perlu membaca kau dalam bahasamu. Dan mengerti kau dengan bahasamu. Seperti aku yang mampu menterjemah itu.

Seindah namamu Angel (Malaikat), aku harapkan kau kekal dengan sifat yang setia menabur kasih disekelilingmu. Semoga persahabatan ini abadi.


Aku sayang kau Lot.

Ahad, 5 Jun 2016

izinkan aku merajuk

Rasanya aku ingin merajuk saja. Jauh-jauh berlari ke hutan dan tinggal sendirian. Merajuk. Tunggu kau ketemu aku dan rasakan bagaimana sakitnya kalau-kalau aku tiada.

Dalam situasi yang menghimpit ini, aku mahu kau kebal dan kalis. Hati kau itu biar kalis. 

Andai saja aku punya magic, izinkan aku membawa kau ke dunia kita. Dunia yang peraturannya cuma satu. Peraturannya adalah kita kekal saling menyayangi. Dan kita abadi dalam kasih sayang itu tanpa apa-apa halangan. Setiap kali memikirkan itu, aku terasa bahagia. 

Namun itu cuma angan-angan sekeping hati yang terperangkap. Mustahil. 

Izinkan aku merajuk dengan Tuhan. Izinkan kau nampak dalamnya rajuk ini agar kau sedar aku perit.

Bata'ng Mabait Mahal Ko, semua akan baik-baik saja kan?