Jumaat, 27 Mei 2016

tidak adil dengan perasaan ini

Aku tidak pernah menjangka aku akan berada dalam situasi dimana kau perlu menyaksikan aku gembira dan memaksa kau untuk menahan sakit itu teman. Banyak-banyak perkara yang kita hadapi, inilah satu-satunya perkara yang kita tidak menang bersama. 

Dalam kepura-puraanmu untuk kelihatan bersahaja dan tetap ketawa, aku tahu kau sedang sedikit tersiksa. Malah, aku meyedarinya dan aku tidak mampu berbuat apa-apa.

Kau boleh saja mengatakan aku manusia yang beruntung kerana disayangi oleh insan-insan istimewa kita. Namun, cukup untuk kau tahu bahawa aku juga tidak adil dengan perasaan ini. Sejak aku memilih untuk ikutkan perasaan ini, jalan untuk berundur tidak lagi mampu aku selusuri. Apa saja pilihan aku akan melukakan seseorang. Untuk itu, aku pilih menikmati perasaan ini dalam perangkap cerita kita. Bagi aku, inilah yang terbaik dan terindah aku rasakan daripada terus berulang kali kita mempersoalkannya.

Aku tegaskan, aku manusia biasa bukan malaikat sempurna. Aku tidak adil dengan perasaan ini seperti aku tidak adil pada perasaan kau. 

Buat semampu kita agar tiada penyesalan. Dan aku tidak menyesal meniti perasaan ini walaupun aku terpaksa korbankan perasaan engkau. 

.
.
.

Biarkan aku terus menyayangi dalam diam. Dan berdoa semoga ada kekuatan untuk kembali memautmu agar kita sama-sama tidak jatuh. Aku akan tunggu hari dimana aku cukup kuat untuk datang menyambutmu semula sayang.

Ahad, 22 Mei 2016

perangkap perasaan

Kita berdua muncul sebagai orang kedua namun dengan mudah kita saling bertakhta. A Relationship doesnt depends on how long you knowing someone, but it depends on how deep you touch their heart.

Dengan perasaan bahagia ini kita sedang melukakan hati orang lain. Kita terlihat jahat sekali kerana situasi yang menghimpit. Dunia tidak akan mengerti. Hati yang terluka itu malah mungkin membenci. Situasi terburuk itu apabila insan yang kita lukakan adalah insan terdekat. Kita akan tertuduh jahil. Tapi soal hati, siapa yang mampu berbicara terang?

Satu saat yang aku tidak pasti itu adalah saat dimana aku menyerah sahaja. Kerana perasaan jengkel yang meraja. Kamu duhai teman. Matamu yang selalu bercahaya saat bicara tentangnya dan aku menjadi pendengar setia yang kian muak rupanya mula melakar cerita sendiri. Tanpa aku pernah sedar, dia yang kau bangga mencari aku untuk bersuara. Hanya aku yang tidak pernah tiba. Waktu aku hadir, kau lebih dulu memula segala. Aku terlihat jahil hanya kerana aku lewat. 

Hal yang aku tidak mahu fahami disini adalah perasaanmu teman. Perasaanmu tentang pilihanku yang sedang menyiksa engkau. Alang-alang aku terlihat jahat, biar saja kau rasa aku kejam. 

Namun, hal yang aku tidak fahami itulah yang sering membelenggu aku. Walaubagaimanapun jua, kau adalah sebahagian daripada setiap anjakan ku. Kerana itu, aku sering terfikir bagaimana untuk memboloskan kita dari perangkap perasaan ini. Perangkap yang mungkin kita boleh pelajari sesuatu daripadanya. 


Sabtu, 21 Mei 2016

kembalikan kita

There are some part I found missing. It is us. 

Kamu mungkin sudah terbiasa dengan kesibukan aku sehingga kamu imun. Tak sedar, kita sedang mencipta jarak yang semakin jauh. Aku ingin menuduh kamu tidak berusaha untuk sampai kepada aku. Malah, sifat kesabaran mu itu telah melalaikan kita dalam hubungan ini.

Aku harap rindu itu kian bertaut. Namun seperti apa yang aku rasa, rindu kian terhenti. Bunganya semacam tiada lagi. Tapi bukankah kita pernah melalui detik ini dulu? Kita melaluinya dengan selamat. Kita tetap utuh. Kerana waktu itu, aku perangi rasa amarahmu kerana aku sedar ketakutanmu itu tidak benar.

Dan kini sayang. Aku tidak mahu bercakap pasal hal kini. Ianya bakal menakutkanmu. Apa yang aku rasa ini benar. 

Mohon kamu sedar kita semakin jauh. Mohon kamu sedar untuk berundur beberapa tapak ke belakang demi kita. Takut-takut aku terlepas dan melepaskanmu.

Selasa, 17 Mei 2016

kamu menang



'Sometimes, the best reaction is to not react at all.'

Setidak-tidaknya saya tidak menyakiti dan saya terhindar dari disakiti. Andai melukakan hati saya membuat kamu gembira dan bahagia, izinkan saya dapatkan trofi terhebat untuk kamu julang. Bergembiralah dengan kepuasan itu. 

Kelebihan saya itu adalah kamu sayang. Kelemahan saya itu juga adalah kamu. Terserah kamu mahu seperti apa. Tapi saya mohon, berhentilah membuat saya berasa seperti 'tikus putih' yang sering kamu uji kekuatan dan ketahanannya. Biar saya saja yang beritahu kamu, saya tidak kuat. Saya tidak kuat bila kamu menyakiti saya untuk satu tujuan yang saya tidak pasti. Saya tidak kuat untuk mempersoalkan kamu. Kerana bagi saya, saya tidak mahu ada kesakitan yang lebih dasyat dari kesakitan berjauhan dan merinduimu. Itu sudah cukup perit untuk saya. Dan saya mohon, kalau semua ini akan lebih lama, bunuh sajalah saya. Agar saya tidak rasa terlalu lama.

Untuk apa kita bermain dengan perasaan yang jelas-jelas kita boleh memilih jauh lebih gembira dan bahagia? Untuk apa hati kita ada jika kita tidak berusaha untuk menjaga malah memilih untuk melukakan?

Yang kamu sayangi ini adalah manusia sayang. Manusia yang lemah. Bukan malaikat yang sempurna. 

Ketika saya menulis ini, hati saya sakit sehingga saya tidak jumpa lagi kata-kata indah untuk memujuk diri sendiri. Saya diam bukan bermaksud saya tidak peduli. Saya hanya mahukan dunia saya sendiri. Dunia yang tiada kesakitan.

Selasa, 10 Mei 2016

andai kamu pergi, aku tidak kuat



Anugerah yang aku syukuri adalah apabila Tuhan menghadirkan kau kepada aku. Seperti saat-saat kamu ada, seperti itulah cerita kita gigih memakan usia. Tempoh itu telah menjadikan kau dan aku seperti satu. Kau seperti bayang aku.

Bellvinna Deana sayang. Seperti selalu, kau selalu dapat membaca aku. Kau tau andai aku sedang menyakiti. Tapi tolonglah. Ini bukan hanya kau, ini sedang menyeksa aku. 

Andai engkau cukup mengenal aku, pasti kau jelas seperti apa aku jadinya tanpa dirimu. Aku tidak kuat. 

Isnin, 9 Mei 2016

Budak Baik - takdir kita lewat

.
.
.
.
.

Seketika ku rasakan bumi ini berpusing. Laju memabukkan aku. Aku pitam. Jatuh. Tak rasa ingin bangun lagi. Usah! Usah bangunkan aku kerana aku ingin tidur lama. Tidur yang tiada mimpi. 

Terlalu banyak yang terindah aku impikan. Semua yang tidak mampu aku miliki aku terima. Tetapi yang ini perit sekali. Aku rasa Tuhan kejam sekali. Aku rasa ianya tidak perlu begini. Tetapi ini yang terjadi.

Jaga dirimu sayang. Maaf. Aku tidak kuat untuk menentang dunia ini buat kamu. Selamanya aku akan kenang setiap cerita kita. Setiap ceritamu yang membuat kau sampai kepadaku. Ceritamu yang meruntun hatiku kesal kerana tidak pernah melakukan apa-apa. Kesal kerana aku tiada disana saat-saat kau tercari-cari aku. 

Budak Baik ku sayang. Aku terima ini dengan hati yang perit sekali. Semacam sial rasanya untuk aku tukarkan perasaan ini kepada redha apalagi kalau aku perlu mengatakan aku ikhlas.

Tapi, aku janji akan menyusul langkahmu dari jauh. Aku janji semua ini tiada penyesalan.

Semua akan baik-baik saja.

andai aku punya magic

Andainya aku punya magic, pasti aku akan tunjukkan ke kamu sesuatu yang aku mahu kamu mengerti dalam-dalam.

Apa yang aku lakukan ke kamu itu memang jahat. Apa yang kamu lakukan ke aku itu juga jahat. Kerana kita saling mula menyakiti. Kita saling mula tidak mahu mengerti.

Kata orang, perkataan 'maaf' itu magic. Tapi 'maaf' itu tidak laku untuk aku dagangkan memiliki hati kamu. 

Paling jujur aku katakan, tolonglah beri aku satu tanda supaya aku berani untuk mengambil langkah yang seterusnya. Berikan aku hanya satu tanda. Tolong.

Sahabat.
Aku biarkan pena menulis menghurai maksud dihati. Agar mudah kau mengerti segala yang terjadi adalah satu liku buat kita.

Sahabat.
Aku tidak akan berdaya menahan hiba rasa, andai kau pergi meninggalkan aku kerana aku mungkin sudah jahat buat kamu.

Sahabat.
Maafkanlah perasaan ini. Bantu aku mencari hikmahnya.

Dan kamu. Teruslah disini. Terimalah magic aku.

Ahad, 8 Mei 2016

BB

Tuhan itu telah menciptakan makhluk yang bernama manusia dengan sangat unik dan istimewa. Manusia diberikan akal untuk berfikir. Dan sesuatu yang lebih unik itu adalah perasaan. Hidup ini selalunya tentang pilihan. Terdapat banyak sekali perkara yang kita kaitkan dengan pilihan tapi bukan perasaan. Kenapa? Katakan kamu sedang gembira. Adakah kalian pernah merancang untuk gembira pada masa itu? Atau adakah kalian yakin pada jam sedemikian kalian akan gembira? Tidak bukan? Pilihan itu berkaitan dengan perancangan. Dan perasaan itu bukan salah satu dari perancangan.

Tentang entri ini. Tentang perasaan juga. Tentang sesuatu yang aku tidak mampu kawal. Perasaan ini mungkin gundah, mungkin gembira, mungkin lega, mungkin bahagia. Mungkin. Sebab semuanya rojak. Tapi yang pasti, ianya indah sekali.

Aku tidak siap mengenal kamu
Aku tidak siap mahukan kamu
Aku tidak siap mahu membahagi hati ini
Kalaupun aku siap,
aku tidak siap untuk membuat kamu rasa selesa dengannya

Aku tidak siap untuk harus bagaimana pada langkah-langkah 
yang seterusnya
Aku mugkin tidak siap untuk berperang dengan dunia ini untuk kamu
Tapi aku takut, kalau-kalau  aku terbiar kamu pergi begitu sahaja
Tanpa kamu tahu aku sedang siap-siap untuk cuba memimpinmu

Disatu sudut yang lain
Aku perhatikan sisi aku yang mementingkan diri
Aku perhatikan sisi aku yang jahat sekali

Andai kamu bertanya kepadaku
Apakah selamanya aku akan menjadi si pengecut?
Aku akan katakan iya.
Kerana aku memang pengecut dalam hal ini
Tidak adil dengan kamu

Tapi izinkanlah
Aku menjadikan penantian kamu itu berbaloi
Izinkanlah
Aku menjawab setiap persoalan dari hatiku yang paling tulus
Izinkanlah
Kalau kita memilih untuk meneruskan ini
Kita memilih untuk tiada penyesalan

Sabtu, 7 Mei 2016

inspirasi

Lama tidak update blog ni. Sehingga ada yang tertanya-tanya. Jawapan aku, ‘Sibuk dan tiada idea.’ Kali ni aku  ingin coretkan tentang satu perkara. Inspirasi. Usah ditanya kenapa tajuk ini yang aku ingin hamparkan disini. Tapi baca sahaja kerana mungkin kisah ini akan membuat kamu lebih dekat dengan aku.

Kalau aku boleh menjelaskan maksud inspirasi ini dengan satu perkataan, ianya adalah ilham. Dan kalau aku perlu jelaskan dengan bait-bait kata yang lebih panjang, maka aku akan katakan inspirasi adalah sesuatu yang mendorong kita untuk berlari ke depan, menolak kita terbang ke atas dan membuat kita lupa pada keterbatasan kita yang selama ini kita rasakan itu satu kecacatan. Inspirasi bukan sahaja tentang ‘siapa’ tapi inspirasi adalah tentang ‘apa’ dan ‘kenapa’. Namun, seringkali juga kita menjadikan seseorang sebagai inspirasi kerana mungkin seseorang itulah yang mampu membuat kita melompat lebih tinggi dari biasa.

Dalam usia yang menginjak angka 29 tahun ini, pastinya terlalu banyak cabaran yang sudah aku lalui. Terjatuh, tersungkur dan terluka merupakan pakej gelanggang kehidupan ini. Yang namanya tidak pernah terluka itu ialah orang yang tidak pernah melakukan apa-apa.

Aku tidak mampu menyebutkan satu nama yang tepat disetiap kebangkitan aku dari setiap kesakitan yang pernah membuat aku tersungkur. Tapi kalau aku perlu sebutkan juga satu nama itu, orangnya adalah bapa. Encik Abd Majid. Apa sahaja yang aku ingin lakukan, pastinya dialah orang yang aku ingin dipersetujui. Yang berbangga dengan setiap kejayaan-kejayaan kecil aku. Yang selalu aku curi impiannya menjadi impianku. Dan aku tidak pernah mahukan apa-apa dari dia selain menjadi anak terbaik diantara yang lima.

Wallahi, aku menulis ini dengan mata yang berkaca-kaca dan mungkin juga saat aku mengetik papan kekunci labtop ini barulah aku benar-benar tersedar dialah inspirasi aku. Terima kasih.

Dan untuk semua insan yang pernah membuat hati aku terluka dan sembuh namun meninggalkan calar, terima kasih kerana kamu telah berjaya mematangkan aku dan aku terbentuk menjadi kuat dari semalam. Rakan-rakan baikku seperti Gja, Aida, Suer, Kasmah, Niniey, Angel, Said an Asmanah. Kamu manusia hebat yang tabah melayani kerenah gila aku. Dan terkadang, tanpa aku sedari, aku melukakan kamu. Tidak dilupakan, sahabat dan adik kesayanganku Bellvinna Deana, someday I found its hard for me to get up. I felt confused. Dan kau Gegirl selalu ada untuk memecahkan kebuntuan itu. Setidaknya kau telah membuat aku sedikit lega dan bertenang sebelum ke langkah yang seterusnya.

Seringkali kita mencari arah tujuan hidup. Walaupun kita cukup sedar tentang itu, namun kita tidak cukup kuat untuk ke sana. Inspirasi mungkin menjadi pencetus untuk kita ghairah menggapainya.

p/s: Selamat Hari Ibu mak. Tanpamu, aku tidak akan tahu semacam apa dunia ini diciptakan untuk manusia. Tanpamu, aku mungkin sering takut berperang dengan segala ketidak adilan yang sebenarnya  cukup adil menjadikan aku sebenar-benar manusia. Tanpamu, aku hilang satu sebab untuk berlari lebih jauh dan menyerlah lebih indah dari biasa. Terima kasih.