Khamis, 24 Disember 2015

Rangalau dan cerita kita

Ada satu cerita yang aku simpan lama. Tidak juga begitu lama, sebulan lebih cuma. Tulisan ini aku anggap mampu menjadi satu bingkisan kenangan yang indah tentang aku dan mereka. 

Aku perlu mulakan tulisan ini dengan watak kawan baik aku. Angel. Angel si sepupu satu kali Stacy tu. Dipendekkan cerita, Angel ini kami lantik sebagai Pengerusi Bringed Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) memandangkan dia sangat aktif melibatkan diri. Sebagai kawan yang baik, kadang-kadang aku tadah saja telinga aku mendengar segala keterujaan dia tentang BSKN tapi aku jarang ambil peduli sebab khidmat dan komitmen aku lebih diperlukan di dalam kem. Fokus aku lebih kepada pelatih bukan bekas pelatih. 

Berita PLKN ditangguhkan selama setahun seolah-olah memberi ilham kepada aku memandangkan hati tergerak untuk memberi ‘corak’ pada BSKN. Tercetuslah idea untuk melaksanakan program Reunion bekas pelatih. Dan berlangsunglah program itu seperti yang aku rancangkan. Terlahirlah muka-muka baru dalam BSKN yang aku harap sebagai penyambung warisan.

Dek kerana keterjuaan yang meruncing, Angel sering kali ‘menghantui’ aku dengan idea baru supaya aku masih mahu merancang sesuatu tentang BSKN. Pantang terlihat aku, mulutnya dengan laju akan bercakap tentang BSKN. Tidak mengira waktu. Tidak juga mengira tempat. Malah dihadapan tandas pun dia masih sedia ajak aku berbicara tentang BSKN. Sejujurnya aku muak. Tinggal aku tidak muntah sahaja bila dengar cerita BSKN nya. Namun, melihat kesungguhan dia yang melebihi tahap dewa, akhirnya terbuka juga pintu hati ini. Akal ini aku paksa merancang misi dan mencari lokasi. Terfikir rasanya aku ingin ‘berafting’ lagi. Dan Kiulu menjadi tumpuan. Berbekalkan hubungan baik Angel dengan saudaranya yang tinggal berhampiran dengan salah sebuah sekolah disitu, kami mencari ikhtiar menjenguk lokasi. Ternyata warga SK Rangalau sudah lama membutuhkan bantuan dari badan-badan sukarelawan seperti kami.

Orang kata, kalau tiada kepahitan, nikmat kemanisan itu tidaklah seberapa. Cabaran untuk ke SK Rangalau hampir tak bisa terungkap dengan kata-kata. Boleh jadi peserta program aku singgah muntah dimana-mana kerana lelah menuruni bukit dan jambatan gantung yang panjang. Namun, aku dan Angel mahu peserta program belajar sesuatu. Setiap langkah merupakan analogi yang mengajar mereka tentang tanggungjawab dan komitmen sebagai pewaris BSKN. Tersadung atau tersungkurnya mereka kelak, masih ada kami menghulur tangan untuk memaut mereka. Asalkan mereka tidak terfikir untuk berhenti dan putus asa.

Hari yang dinanti telah tiba. 30 Nov hingga 1 Dis merupakan tarikh yang dipilih untuk menjayakan misi. Bermula dari kem PLKN Mesapol hinggalah ke SK Rangalau Lama Tamparuli, muncul satu-satu wajah yang aku tidak pernah kenal dan hanya banyak berbicara menerusi group whatsapp yang Angel reka. 

Tiba di lokasi, cabaran pertama dimulai dengan menyusuri jalan berbukit yang cerun dan berselekoh tajam. Berat beban yang kami pikul sudah tidak terkata namun keluh kesah bukanlah ungkapan yang mampu membantu apa-apa. Aku cuma membiarkan apa saja bisikan hati kecil peserta. Peluh membasahi baju. Nafas tersekat-sekat sebaik tiba di sekolah. Ketibaan yang agak lewat menjadikan aku sedikit bertegas tentang masa. Memulakan aktiviti seperti yang sudah dirancang. Perlawanan persahabatan bola sepak dengan penduduk kampung adalah aktiviti pertama. Aku yang tidak kenal kebanyakan peserta hanya mengikut arus seperti tiada apa-apa. Berinteraksi seperti sudah kenal lama. Begitulah ianya bermula.

Taklimat sebelum turun ke menuruni jalan cerun berbukit

Detik-detik menyelusuri jalan yang curam

Here we go! Jambatan guyang-guyang.

Aktiviti Ice Breaking yang aku dan Angel aturkan ternyata memberi impak yang aku anggap tinggi. Di situ, aku mula mengenali watak satu-satu peserta dihadapan aku. Menyusun karakter sebagai yang paling sulung dikalangan mereka dan memastikan misi ini mencapai objektifnya merupakan sesuatu yang sedikit aku gusarkan. Namun, gundah itu hanya sebentar. Ianya cepat sekali berubah menjadi sesuatu yang sangat mudah kerana mereka. Segala yang aku arahkan, mereka patuh seperti adik yang mendengar kata. 

Bayangkan sepanjang berada disana, tandas yang kami gunakan untuk mandi dan banyak kemudahan seperti kelas tiada bekalan elektrik. Malam pertama kami disana, kami perlu menadah air dengan tabah sebelum cukup sebaldi untuk membersihkan badan. Dek kerana tiada perbezaan tandas lelaki dan perempuan, kami serta merta mengatur jadual untuk mandi supaya tiada seorang pun peserta perempuan akan rasa tercabul kehormatannya. Ironinya, peserta lelaki sangat mendengar kata sedangkan tempat penginapan mereka sangat dekat dengan tandas. Kalau nak diikutkan akal nakal mereka, bila-bila saja mereka boleh datang mengintai. Ajaibnya, peserta perempuan dan lelaki saling menjaga. Saling mengharmonikan suasana. Aku dan Angel melalui detik-detik serba kekurangan itu dengan rasa bahagia. 

Semasa melakukan aktiviti khidmat komuniti, sekolah yang mulanya dilihat seperti bangunan berpuaka bertukar ceria dengan sentuhan kreativiti mereka. Malah, aku tidak perlu terlalu banyak bicara untuk memberitahu apa yang perlu dilakukan. Mereka dengan mudah menyelesaikan semuanya. Sebagai ‘habuan’, aku dan Angel membawa mereka semua ke sungai berhampiran untuk bermandi-manda. Ingat lagi petang tu, Aku, Richell, Nana dan Flo hanya duduk bersembang di tepian sungai memerhati keriuhan yang lain menikmati sejuknya air sungai. Melihat mereka saling bergurau-senda dan saling menghampur ketawa. Ahhh perasan itu sungguh indah.

Taklimat sebelum khidmat komuniti

Melukis mural.

So comeeell. Betulung-tulung kumpul rumput buat unggun api.

Masak sendiri, makan ramai-ramai. 

Entah kenapa, semuanya menjadi terlalu mudah untuk aku. Menjadi terlalu sangat dan amat mudah. Malam kedua atau malam terakhir disana, kami sempat melakukan sesi refleksi. Dan tanpa disangka-sangka dan tanpa pengetahuan aku, Angel, As, Lina dan Lisda (Jurulatih Urusetia Program) mereka membuat sedikit kejutan dengan mendendangkan lagu dan menyampaikan gambar berbingkai yang dirakamkan petang itu. 

Refleksi time.

Sejujurnya, aku telah giat menjadi perancang dan pelaksana program sejak dari zaman universiti. Aku sudah cukup tahu seperti apa sukarnya mengelola satu-satu program. Malah aku cukup sedia andai program itu bakal menemui kegagalan atau terdapat kecacatan dimana-mana bahagian. Tapi, dengan semua program yang pernah aku jayakan, program ini yang ku kira sangat tidak memberi aku tekanan. Zero stress! Mungkin juga talian Digi yang tidak ada dikawasan itu menyebabkan aku fokus pada matlamat. Dan sebenarnya, wajah-wajah 30 peserta itu yang menjadikan segalanya begitu mudah. Belum pernah aku jatuh cinta pada BSKN sehinggalah memori tercipta di Rangalau bersama mereka. 


We did it!

You guys are awesome!

p/s; entri ni dedikasi untuk semua peserta program di Rangalau. Thanks untuk Pija dan Cheng yang support saya untuk tulis entri ni. But sory guys, tidak banyak gambar. For more pictures, just go to our Facebook.