Rabu, 4 Mac 2015

adinda

Adinda
Sinar semakin kelam detik-detik engkau tiba
Memegang lilin sekilas ke wajahku

Wajahmu tenang disitu
Membiar aku kaku
Dan hatiku kau palu

Malam yang menolak mentari
dan siang yang menyingkir bulan
silih berganti
Dari hari bertukar minggu
Dari minggu bertukar bulan
Dari bulan berhanti tahun

Adinda
Kau adalah teman tempat aku meluah rasa
Kau adalah sahabat tempat aku berduka dan gembira
Kau adalah ratu yang menduduki takhta
dihati kecil ini.

Kau setia saat aku berlari mengejar masa demi kerjaya
Kau tetap rela walau amarahku menguji sabarmu
Tak pernah sekali kau berundur setapak
meninggalkan aku.

Bagimu
Kekuranganku tiada cela hinanya
Sepenuh yakin
Kau mengasihiku
Seperti embun yang setia
memberi dingin pada dedaun yang hampir mati

Duhai adinda
Amalan apakah yang pernah aku lakukan
sehingga Tuhan menghadiahkan dikau kepadaku?

Adinda
Kiranya waktu yang berlalu mengubah rasa didalam hatimu
Datanglah kepadaku dan katakan hanya satu
Kau tetap bahagia walau aku tiada

Tetapi andainya aku terpinggirkan dirimu
Itu hanya kerana salahku
Seperti yang kau katakan dulu,
'kerana aku tidak percaya kau tetap menyayangiku'

Adindaku Bellvinna Deana
Sebuah puisi takkan cukup untuk membuat dunia mengerti
Namun aku mahu kau membaca ini

Satu ketika andai ada diantara kita yang terlupa
Bagaimana kau dan aku mula menjadi saudari

Puisi ini adalah coretan ringkas
Yang mengejutkan hati-hati kita yang separuh mati.

coretan aku Yulie Nurafnie

Ahad, 1 Mac 2015

aku yang sensitif

Jarang sebenarnya aku ingin bercerita pasal diri aku di sini. Tapi mungkin sebab teringin juga untuk menulis jadi mungkin ini waktu yang sesuai untuk aku merefleksi diri sendiri.

Siapa aku? Bukan doktor. Bukan lawyer. Bukan majistret. Bukan ahli muzik. Bukan. 

Aku cuma bekerja sebagai penjawat awam. Kerja membimbing anak bangsa. Tugas yang memberi seribu satu rasa. Gembira, kecewa, terluka dan bahagia. Semua ada.

Untuk seorang yang bakal menginjak angka 28 dan menerokai remaja sepuluh tahun dibelakangku tidak pernah mudah. Aku perlu menyelam dalam. Meletakkan diriku, tubuhku dan hatiku dalam diri, tubuh dan hati remaja seperti mereka. Dan kerana penerokaan sebegitu dalam, aku menemukan banyak perkara. 

Ada timbul rasa sayang. Pada mereka yang aku anggap adik dan juga pada rakan setugas yang sentiasa menarik aku ke atas tatkala aku sudah lelah untuk berdiri lagi. Mengajar aku untuk lebih banyak ketawa dan bersahaja walaupun sejujurnya aku dibudayakan dalam diri seorang pemikir dan pendengar yang lebih gemar ada ruang lingkup sendiri. Meletakkan 'head-set' ditelinga dengan harapan aku tidak mendengar rungutan dunia. Namun, profesion telah mengawal passion. Telinga ini lebih diperlukan untuk mendengar. Bibir ini lebih membutuhkan nasihat. Dan hati ini lebih menuntut untuk peka pada perasaan.

Mungkin telah terlalu lama tinggal di dunia sendiri menjadikan aku alah pada kata-kata yang mengguris hati. Hati mudah rapuh kalau tidak kena bahasanya. Gurauan yang tidak 'bijak' dari manusia yang tidak begitu menggunakan akal akan melelahkan aku.

Jujur aku telah banyak mencipta perisai hati. Agar ia tidak mudah tersakiti. Membuat kamu ketawa tatkala hati sedang menangis adalah satu pengorbanan yang berat untuk aku selesaikan setiap hari. Mencuba untuk terus membimbing tatkala aku sendiri diambang-ambang kerebahan mengajar aku erti survival. 

Pejam celik pejam celik, aku semakin lupa siapa aku pada awalnya. Mungkin telah lali. Mungkin juga aku telah melalui proses perubahan. Itulah fasa kedewasaan.

Namun, bila ia berkenaan orang-orang yang tersayang, orang-orang penting dan VIP dihatiku, aku kembali menjadi aku yang dulu. Sentifif. Ouh tidak, merajuk. Yah, kerana merajuk pada yang sayang.

Jadi, kamu. Yah kamu. Kalau rasa ingin berlari jauh. Tolong pulangkan hatiku. Jangan ia kau bawa lari bersama.