Khamis, 24 Disember 2015

Rangalau dan cerita kita

Ada satu cerita yang aku simpan lama. Tidak juga begitu lama, sebulan lebih cuma. Tulisan ini aku anggap mampu menjadi satu bingkisan kenangan yang indah tentang aku dan mereka. 

Aku perlu mulakan tulisan ini dengan watak kawan baik aku. Angel. Angel si sepupu satu kali Stacy tu. Dipendekkan cerita, Angel ini kami lantik sebagai Pengerusi Bringed Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) memandangkan dia sangat aktif melibatkan diri. Sebagai kawan yang baik, kadang-kadang aku tadah saja telinga aku mendengar segala keterujaan dia tentang BSKN tapi aku jarang ambil peduli sebab khidmat dan komitmen aku lebih diperlukan di dalam kem. Fokus aku lebih kepada pelatih bukan bekas pelatih. 

Berita PLKN ditangguhkan selama setahun seolah-olah memberi ilham kepada aku memandangkan hati tergerak untuk memberi ‘corak’ pada BSKN. Tercetuslah idea untuk melaksanakan program Reunion bekas pelatih. Dan berlangsunglah program itu seperti yang aku rancangkan. Terlahirlah muka-muka baru dalam BSKN yang aku harap sebagai penyambung warisan.

Dek kerana keterjuaan yang meruncing, Angel sering kali ‘menghantui’ aku dengan idea baru supaya aku masih mahu merancang sesuatu tentang BSKN. Pantang terlihat aku, mulutnya dengan laju akan bercakap tentang BSKN. Tidak mengira waktu. Tidak juga mengira tempat. Malah dihadapan tandas pun dia masih sedia ajak aku berbicara tentang BSKN. Sejujurnya aku muak. Tinggal aku tidak muntah sahaja bila dengar cerita BSKN nya. Namun, melihat kesungguhan dia yang melebihi tahap dewa, akhirnya terbuka juga pintu hati ini. Akal ini aku paksa merancang misi dan mencari lokasi. Terfikir rasanya aku ingin ‘berafting’ lagi. Dan Kiulu menjadi tumpuan. Berbekalkan hubungan baik Angel dengan saudaranya yang tinggal berhampiran dengan salah sebuah sekolah disitu, kami mencari ikhtiar menjenguk lokasi. Ternyata warga SK Rangalau sudah lama membutuhkan bantuan dari badan-badan sukarelawan seperti kami.

Orang kata, kalau tiada kepahitan, nikmat kemanisan itu tidaklah seberapa. Cabaran untuk ke SK Rangalau hampir tak bisa terungkap dengan kata-kata. Boleh jadi peserta program aku singgah muntah dimana-mana kerana lelah menuruni bukit dan jambatan gantung yang panjang. Namun, aku dan Angel mahu peserta program belajar sesuatu. Setiap langkah merupakan analogi yang mengajar mereka tentang tanggungjawab dan komitmen sebagai pewaris BSKN. Tersadung atau tersungkurnya mereka kelak, masih ada kami menghulur tangan untuk memaut mereka. Asalkan mereka tidak terfikir untuk berhenti dan putus asa.

Hari yang dinanti telah tiba. 30 Nov hingga 1 Dis merupakan tarikh yang dipilih untuk menjayakan misi. Bermula dari kem PLKN Mesapol hinggalah ke SK Rangalau Lama Tamparuli, muncul satu-satu wajah yang aku tidak pernah kenal dan hanya banyak berbicara menerusi group whatsapp yang Angel reka. 

Tiba di lokasi, cabaran pertama dimulai dengan menyusuri jalan berbukit yang cerun dan berselekoh tajam. Berat beban yang kami pikul sudah tidak terkata namun keluh kesah bukanlah ungkapan yang mampu membantu apa-apa. Aku cuma membiarkan apa saja bisikan hati kecil peserta. Peluh membasahi baju. Nafas tersekat-sekat sebaik tiba di sekolah. Ketibaan yang agak lewat menjadikan aku sedikit bertegas tentang masa. Memulakan aktiviti seperti yang sudah dirancang. Perlawanan persahabatan bola sepak dengan penduduk kampung adalah aktiviti pertama. Aku yang tidak kenal kebanyakan peserta hanya mengikut arus seperti tiada apa-apa. Berinteraksi seperti sudah kenal lama. Begitulah ianya bermula.

Taklimat sebelum turun ke menuruni jalan cerun berbukit

Detik-detik menyelusuri jalan yang curam

Here we go! Jambatan guyang-guyang.

Aktiviti Ice Breaking yang aku dan Angel aturkan ternyata memberi impak yang aku anggap tinggi. Di situ, aku mula mengenali watak satu-satu peserta dihadapan aku. Menyusun karakter sebagai yang paling sulung dikalangan mereka dan memastikan misi ini mencapai objektifnya merupakan sesuatu yang sedikit aku gusarkan. Namun, gundah itu hanya sebentar. Ianya cepat sekali berubah menjadi sesuatu yang sangat mudah kerana mereka. Segala yang aku arahkan, mereka patuh seperti adik yang mendengar kata. 

Bayangkan sepanjang berada disana, tandas yang kami gunakan untuk mandi dan banyak kemudahan seperti kelas tiada bekalan elektrik. Malam pertama kami disana, kami perlu menadah air dengan tabah sebelum cukup sebaldi untuk membersihkan badan. Dek kerana tiada perbezaan tandas lelaki dan perempuan, kami serta merta mengatur jadual untuk mandi supaya tiada seorang pun peserta perempuan akan rasa tercabul kehormatannya. Ironinya, peserta lelaki sangat mendengar kata sedangkan tempat penginapan mereka sangat dekat dengan tandas. Kalau nak diikutkan akal nakal mereka, bila-bila saja mereka boleh datang mengintai. Ajaibnya, peserta perempuan dan lelaki saling menjaga. Saling mengharmonikan suasana. Aku dan Angel melalui detik-detik serba kekurangan itu dengan rasa bahagia. 

Semasa melakukan aktiviti khidmat komuniti, sekolah yang mulanya dilihat seperti bangunan berpuaka bertukar ceria dengan sentuhan kreativiti mereka. Malah, aku tidak perlu terlalu banyak bicara untuk memberitahu apa yang perlu dilakukan. Mereka dengan mudah menyelesaikan semuanya. Sebagai ‘habuan’, aku dan Angel membawa mereka semua ke sungai berhampiran untuk bermandi-manda. Ingat lagi petang tu, Aku, Richell, Nana dan Flo hanya duduk bersembang di tepian sungai memerhati keriuhan yang lain menikmati sejuknya air sungai. Melihat mereka saling bergurau-senda dan saling menghampur ketawa. Ahhh perasan itu sungguh indah.

Taklimat sebelum khidmat komuniti

Melukis mural.

So comeeell. Betulung-tulung kumpul rumput buat unggun api.

Masak sendiri, makan ramai-ramai. 

Entah kenapa, semuanya menjadi terlalu mudah untuk aku. Menjadi terlalu sangat dan amat mudah. Malam kedua atau malam terakhir disana, kami sempat melakukan sesi refleksi. Dan tanpa disangka-sangka dan tanpa pengetahuan aku, Angel, As, Lina dan Lisda (Jurulatih Urusetia Program) mereka membuat sedikit kejutan dengan mendendangkan lagu dan menyampaikan gambar berbingkai yang dirakamkan petang itu. 

Refleksi time.

Sejujurnya, aku telah giat menjadi perancang dan pelaksana program sejak dari zaman universiti. Aku sudah cukup tahu seperti apa sukarnya mengelola satu-satu program. Malah aku cukup sedia andai program itu bakal menemui kegagalan atau terdapat kecacatan dimana-mana bahagian. Tapi, dengan semua program yang pernah aku jayakan, program ini yang ku kira sangat tidak memberi aku tekanan. Zero stress! Mungkin juga talian Digi yang tidak ada dikawasan itu menyebabkan aku fokus pada matlamat. Dan sebenarnya, wajah-wajah 30 peserta itu yang menjadikan segalanya begitu mudah. Belum pernah aku jatuh cinta pada BSKN sehinggalah memori tercipta di Rangalau bersama mereka. 


We did it!

You guys are awesome!

p/s; entri ni dedikasi untuk semua peserta program di Rangalau. Thanks untuk Pija dan Cheng yang support saya untuk tulis entri ni. But sory guys, tidak banyak gambar. For more pictures, just go to our Facebook.

Jumaat, 21 Ogos 2015

ku katakan dengan indah

Ringkasnya begini. Sekarang aku dengan Gja dan Suer. Aku sebenarnya singgah menginap di rumah diorang sementara menunggu waktu penerbangan ke Sarawak pada hari Ahad nanti.

Ok, mari aku mula cerita aku. Kenapa aku ke Sarawak pada Ahad ini? Bulan Jun lalu, aku dengan secara paksa rela telah dimasukkan sebagai ahli Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) wakil kem aku bersama 9 orang yang lain yang juga aku berani cakap dipaksa rela. Kem aku merupakan satu-satunya kem yang mewakili Sabah untuk bertanding dengan 2 kem dari Sarawak nanti.

Bermula dengan perasaan geram, sakit hati dan yang paling banyak aku rasa adalah 'dianiaya' oleh ketua aku sendiri, aku gagahi detik-detik sukar bersama ahli kumpulan yang kami gelarkan sebagai HOPE. Kenapa aku kata aku 'dianiaya'? Pertama, aku rasa aku adalah antara barisan jurulatih serba boleh  melakukan banyak perkara. Kedua, apa yang mereka harapkan hanya akan terhasil dengan adanya aku.(ayat poyo tapi fakta)

Entah kenapa, walaupun detik-detik sukar itu kami selusuri makin banyak hikmah yang aku temui. Keakraban kami dalam kumpulan memang awesome! Aku semakin kenal dengan Nizam dan Beb (jurulatih fizikal). Aku selalu rasa kurang tanpa Hanim (ustazah).

Satu saat dimana kami perlu memilih presenter, aku tahu tumpuan mereka mahukan aku terutamanya Nizam yang terus akur dengan ralatnya apabila membentang perkara yang dianggapnya jauh dari kepakarannya. Alyas pula yang sering mendapat jolokan jurulatih petah bila berbicara seolah hilang punca saat perlu bersuara tentang projek sebegini. Jauh disudut hati, aku terlalu mudah rapuh sehingga dalam diam aku mempersiapkan diriku sendiri sebagai presenter. Cumanya, semua itu aku rahsiakan sehingga ia menjadi terlalu kritikal buat mereka berdua. Dalam tempoh 3 hari, segalanya nampak semakin bertenaga. Akhirnya, Nizam dan Alyas juga sebagai presenter utama.

Waktu sesi perkongsian, aku luahkan segala bicara agar tiada hati yang rasa terluka. Tiada dendam yang menjadi raja. Satu pepatah pernah singgah ditelinga aku, 'if you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together.' Aku cuma mahu berhenti berlari sendiri. Aku cuma mahu membimbing semua menjadi aku andai ada sesuatu yang lebih itu ada padaku.

Jumaat, 8 Mei 2015

im sorry for blaming you for everything

Waktu aku menerima perkhabaran itu, aku panik. Aku gundah. Aku gelisah. Ingin rasanya aku heret kau dihadapanku tunduk memberi penjelasan dan membuat pengakuan. Hanya itu. Semuanya seakan terlalu jelas. Jelas kau yang salah. 

Aku bukan siapa-siapa untuk layak mengambil peduli. Tapi tidak pula aku tergamak menutup sebelah mata tanpa cuba berbuat apa-apa. 

Andai saja aku tidak mengenal kau dari dulu. Mungkin aku akan buat tak tahu. Tapi kerana kau pernah dekat dihati, memberi peluang pula untuk aku berkongsi pelbagai cerita. Ianya bukan aku jika aku tidak bertanya. 

Hampir naik gila rasanya, cuba menghubungi kau yang tidak muncul ditalian. Timbul rasa kesal, mengapa tanah semenanjung letaknya diseberang lautan. Kalau tidak, pasti kau akan kelihatan terlalu kecil dimataku untuk aku 'telan' kau hidup-hidup.

Dan rupanya Tuhan masih mengasihani kau. Dan Tuhan seolah 'menegur' aku. Malah aku rasa Tuhan 'menempeleng' hatiku yang mudah ampuh. Segala persoalan kau berikan penjelasan. Satu persatu walaupun diselang-seli dengan tangisan. Walaupun, aku rasa ianya masih terlalu bodoh untuk kau perlakukan itu, namun dihujung kataku, ada ungkapan'maaf' yang sebal tapi tetap juga ada lega yang besar.

Kita masih mau bertahan kerana sebuah kepercayaan. Dan disebalik satu kepercayaan itu, terletak pula seribu harapan. Harapan orang-orang yang menyayangi kau. Aku tidak minta menjadi sebahagian dari yang kau sayang kerana padaku sudah terlalu cukup jika nasihatku berguna sebagai pedoman tika kau berdepan dengan cabaran.

Anggaplah cikgu menulis ini kerana sesuatu yang cikgu tidak akan lupa waktu semuanya menjadi kebingungan cikgu dan Michele. Dan mohon agar kau Jennyfer Jason belajar sesuatu dari kesilapan itu. 

Kerana waktu semua itu terjadi, terbayang pula wajah adik kesayangan cikgu Bellvinna. Entah bagaimana pula ributnya cikgu jika dia yang menguji hati cikgu sedemikian rupa.

p/s: Im sorry for blaming you for everything


Isnin, 20 April 2015

walaupun mendengarnya aku sakit, namun itu yang terbaik

Sejak aku mengenali kau seperti kau mengenali diri kau. Dan aku berkata sesuatu yang mungkin sudah terlalu lama kau tunggu untuk mendengarnya, sejak itu aku berjanji tak akan pernah jauh. 

Waktu sesingkat apa pun yang ada untuk kita, sedaya yang mungkin aku usahakan untuk memperlihatkan kepada kau tentang warna dunia yang tak pernah ingin kau lihat dan tak pernah kau ambil peduli.

Semalam, bila kau kata ada seseorang seperti aku, baru aku tersedar letakku mungkin terlalu istimewa. Itulah doaku untukmu. Agar ada orang lain melihat kau seperti aku melihat kau. Mengenal kau seperti aku mengenal kau. 

Sesungguhnya aku berharap, aku akan selalu ada. Tapi Tuhan tidak menakdirkannya seperti itu. Apa yang menunggu kita pada hari esok, biarla hari-hari yang lebih gembira. Hapus semua duka. Walau dengan siapa sahaja. Biarkan hanya bahagia dan ketawa.

And...by slowly. I will step back and let you walk without me. Things going better right?

p/s; Tuhan, tolong jaga dia.

Rabu, 4 Mac 2015

adinda

Adinda
Sinar semakin kelam detik-detik engkau tiba
Memegang lilin sekilas ke wajahku

Wajahmu tenang disitu
Membiar aku kaku
Dan hatiku kau palu

Malam yang menolak mentari
dan siang yang menyingkir bulan
silih berganti
Dari hari bertukar minggu
Dari minggu bertukar bulan
Dari bulan berhanti tahun

Adinda
Kau adalah teman tempat aku meluah rasa
Kau adalah sahabat tempat aku berduka dan gembira
Kau adalah ratu yang menduduki takhta
dihati kecil ini.

Kau setia saat aku berlari mengejar masa demi kerjaya
Kau tetap rela walau amarahku menguji sabarmu
Tak pernah sekali kau berundur setapak
meninggalkan aku.

Bagimu
Kekuranganku tiada cela hinanya
Sepenuh yakin
Kau mengasihiku
Seperti embun yang setia
memberi dingin pada dedaun yang hampir mati

Duhai adinda
Amalan apakah yang pernah aku lakukan
sehingga Tuhan menghadiahkan dikau kepadaku?

Adinda
Kiranya waktu yang berlalu mengubah rasa didalam hatimu
Datanglah kepadaku dan katakan hanya satu
Kau tetap bahagia walau aku tiada

Tetapi andainya aku terpinggirkan dirimu
Itu hanya kerana salahku
Seperti yang kau katakan dulu,
'kerana aku tidak percaya kau tetap menyayangiku'

Adindaku Bellvinna Deana
Sebuah puisi takkan cukup untuk membuat dunia mengerti
Namun aku mahu kau membaca ini

Satu ketika andai ada diantara kita yang terlupa
Bagaimana kau dan aku mula menjadi saudari

Puisi ini adalah coretan ringkas
Yang mengejutkan hati-hati kita yang separuh mati.

coretan aku Yulie Nurafnie

Ahad, 1 Mac 2015

aku yang sensitif

Jarang sebenarnya aku ingin bercerita pasal diri aku di sini. Tapi mungkin sebab teringin juga untuk menulis jadi mungkin ini waktu yang sesuai untuk aku merefleksi diri sendiri.

Siapa aku? Bukan doktor. Bukan lawyer. Bukan majistret. Bukan ahli muzik. Bukan. 

Aku cuma bekerja sebagai penjawat awam. Kerja membimbing anak bangsa. Tugas yang memberi seribu satu rasa. Gembira, kecewa, terluka dan bahagia. Semua ada.

Untuk seorang yang bakal menginjak angka 28 dan menerokai remaja sepuluh tahun dibelakangku tidak pernah mudah. Aku perlu menyelam dalam. Meletakkan diriku, tubuhku dan hatiku dalam diri, tubuh dan hati remaja seperti mereka. Dan kerana penerokaan sebegitu dalam, aku menemukan banyak perkara. 

Ada timbul rasa sayang. Pada mereka yang aku anggap adik dan juga pada rakan setugas yang sentiasa menarik aku ke atas tatkala aku sudah lelah untuk berdiri lagi. Mengajar aku untuk lebih banyak ketawa dan bersahaja walaupun sejujurnya aku dibudayakan dalam diri seorang pemikir dan pendengar yang lebih gemar ada ruang lingkup sendiri. Meletakkan 'head-set' ditelinga dengan harapan aku tidak mendengar rungutan dunia. Namun, profesion telah mengawal passion. Telinga ini lebih diperlukan untuk mendengar. Bibir ini lebih membutuhkan nasihat. Dan hati ini lebih menuntut untuk peka pada perasaan.

Mungkin telah terlalu lama tinggal di dunia sendiri menjadikan aku alah pada kata-kata yang mengguris hati. Hati mudah rapuh kalau tidak kena bahasanya. Gurauan yang tidak 'bijak' dari manusia yang tidak begitu menggunakan akal akan melelahkan aku.

Jujur aku telah banyak mencipta perisai hati. Agar ia tidak mudah tersakiti. Membuat kamu ketawa tatkala hati sedang menangis adalah satu pengorbanan yang berat untuk aku selesaikan setiap hari. Mencuba untuk terus membimbing tatkala aku sendiri diambang-ambang kerebahan mengajar aku erti survival. 

Pejam celik pejam celik, aku semakin lupa siapa aku pada awalnya. Mungkin telah lali. Mungkin juga aku telah melalui proses perubahan. Itulah fasa kedewasaan.

Namun, bila ia berkenaan orang-orang yang tersayang, orang-orang penting dan VIP dihatiku, aku kembali menjadi aku yang dulu. Sentifif. Ouh tidak, merajuk. Yah, kerana merajuk pada yang sayang.

Jadi, kamu. Yah kamu. Kalau rasa ingin berlari jauh. Tolong pulangkan hatiku. Jangan ia kau bawa lari bersama.

Isnin, 23 Februari 2015

kosong

Biarkan hati ini kosong
Sementara aku sendiri membenci
Mungkin dalam sedar
Aku melukaimu banyak

Malu untuk aku kata tunggu
Sedangkan aku sendiri keliru

Sumpah
Hampir separuh mati aku cuba
Masih tak kembali berbunga

Melukaimu bukan kehendakku
Bukan juga kerana egoku
Cuma aku terlalu buntu
Sungguh
Aku tak tahu

Aku tak minta kau mengerti
Tak minta juga kau fahami
Tak perlu kau peduli
Tak mengharap untuk kau menanti
Tidak

Maaf tak mampu menghilangkan duka
Apalagi mencipta ketawa
Tak semua perkara selesai hanya dengan maaf
Tapi setidaknya
Aku mengaku salah
Kita berdua tahu
Aku yang salah
Noktah.

coretan aku Yulie Nurafnie

Jumaat, 20 Februari 2015

seorang manusia

Kadang-kadang manusia berubah mengikut waktu
Kerana hati
Kerana emosi
Kerana tak dimengerti
dan lebih mudah
Menuding dengan satu jari.
Tak sedar lagi tiga jari
Tuding diri sendiri.

Waktu juga
Membimbing kita untuk tabah
Mengajar kita mengenal manusia
Tentang siapa betul siapa salah
Siapa yang tekad setia
Siapa yang bermanis kata
Dan
Siapa yang berpura-pura
Itu proses untuk dewasa
atau mungkin
Itu hanya sebuah drama
yang tidak jumpa pentasnya.

coretan aku Yulie Nurafnie

istimewa

Sesuatu menari di hadapanku
Sesuatu sedang mencari aku
Sedang aku mendengar lagu
Sedang aku membaca buku
Sesuatu itu datang dari kamu
Memaut aku laju-laju
Tanpa ragu.

Kita menari tak kira tempo
Tak terasa penat
Hanya asyik

Ku kira aku gila
Ku kira aku dah tak mengenal wajah
Rupanya kita yang gila
Dengan mudah kita cipta ketawa.

Kita mencari corak dunia
Yang biasa-biasa sahaja
Asalkan dapat sentuh cahaya
Asalkan dapat memberi indah
Kita redah.

Esok, lusa atau bila-bila
Aku atau kau tidak lagi duduk bersama
mendengar cerita seperti selalunya
Jangan dibuang rasa percaya
Kerana tak selalunya ia datang biasa

Bila-bila saja kau tak melihat aku
saat kau tercari-cari
Bila-bila saja kau tak mendengar aku
dalam riuh yang ramai
Bila-bila saja kau tak terkenang aku
dalam rindu pada semua

Usah persoalkan apa-apa
Usah bertanya salah siapa
Anggap saja ia tak cukup rasa
Sebab aku terlalu biasa
Dan
Sebab kau terlalu istimewa

Aku tetap akan rindu
pada saat kau bercerita
dan aku duduk mendengar
Sambil melihat anak matamu yang tak berdosa
Sambil kau menanti nasihatku dengan setia.

coretan aku Yulie Nurafnie

Ahad, 11 Januari 2015

kerana hanya aku yang ada

Tangkap semua memori indah kerana takkan pernah terulang lagi. Takkan pernah terakam walau ingin kembalik sesaat di belakang!
Biar aku lelah mengabadikan semua. Walau tak terukir namaku dibawahnya. Aku laju ingin mengingat semua waktu kita bersama.