Selasa, 26 Mac 2013

lawan untuk hak, katernyer

Ntah sejak nak mengundi ni, semua lagu yang aku dengar berirama politik. Udara yang aku sedut juga berbau politik. Muakk.

Fikir sendiri lah.

Kau nilai balik apa yang kau dapat tu sama tak dengan hak kau yang sepatutnya. Arghhh sudah. muntah dah    dekat hujung tekak.

Lawan untuk hak. Cukup. Sapa pun yang naik, kalau memimpin untuk hak, sepatutnya tak perlu ada masalah. 

Ok. Aku pun bosan nak menaip siri tak tentu nehh.

Rabu, 20 Mac 2013

masa depan

Rumah. Bila terfikirkan rumah, inilah tempat aku berehat mental dan fizikal dari terus memikirkan kem. Tapi ironiknya, bila terlalu lama di rumah, rasa rindu pulak untuk berceloteh dihadapan puluhan pelatih. Manusia. Memang serba tidak puas itu dan ini.

Berada dirumah juga menyebabkan aku terlalu banyak memikirkan masa depan yang kabur-kabur. Memikirkan apakah cara untuk menyenangkan orang tua yang telah berkorban usia mendewasakan aku selama ini. Serabut. Dan terkadang aku terfikir perihal kawan-kawan yang seusiaku menamatkan zaman bujangnya malah telah mendukung cahaya mata pertama. Langsung tidak menggugat aku malah aku terfikir, cukup bersediakah mereka? Sedangkan aku masih lagi memikirkan duniawi ini. Entah. Tapi kata orang, lepas berkahwin murah rezekinya. Samada ya atau tidak, satu jawapan dari aku, belum bersedia. Keinginan ada tapi bukan sekarang. 

Banyak azam yang aku tanamkan untuk tahun ini. Lesen memandu entah bila nak ambik. Asyik sibuk sahaja. Erghhhh! 

Dan perihal adik kesayangan hamba, Bellvinna itu, sekarang dia tengah ambik kursus di Plaza Tanjung Aru. Beberapa hari terlalu merisaukan si budak polos itu akhirnya aku dah boleh tarik nafas lega. Harap-harapnya dia okey. Macam yang dia cakap, 'Biarla saya belajar hidup susah sis... Bila lagi saya mau belajar..?' Mungkin dia betul. Tapi untuk melihat dia melaui proses itu, memang cukup mendebarkan aku. 

Entri ini sekadar mahu memuntahkan sedikit kegusaran yang membelenggu diri. Terima kasih sebab baca. Selamat malam sayang-sayangku.

Sabtu, 16 Mac 2013

sendu

Melepaskan sudah pelatih pergi. Selesai lagi satu tanggungjawab yang berat. Entah kenapa kali ini, leganya lain macam saja. Mungkin kerana bilangan mereka yang terlalu ramai menyebabkan aku dan kami rasa tidak begitu tertanggung membelai nyawa-nyawa itu. Lalu saat tamat latihan ini, menjadi penantian kami.

Syukur. Ia sudah berakhir. Kembalilah ke pangkuan keluarga dengan nilai-nilai yang kami telah berikan. Moga mampu memberi kesan yang dalam.

Itu satu cerita.

Yang kedua, perihal adik aku yang seorang ini ntah kenapa merisaukan aku. Melepaskan dia pergi, ada bimbang yang berselubung dalam. Cuba mencari kelegaan, namun masih ada kerisauan yang tidak mahu menjauh. Sendu ditangkai kalbu.

Semoga kau baik-baik sahaja sayanggg.

Jumaat, 8 Mac 2013

loving you

Eventhough sometimes I feel hard to keep loving you but truly is I feel even harder to not feels you around...

Khamis, 7 Mac 2013

pelatih hebatku Bellvinna

Telah agak lama aku ingin menulis tentang dia ini. Namun, aku terkekang dek waktu dan kebuntuan perkataan untuk aku karang disini. Lagi pula, aku rasa aku perlu meminta persetujuan empunya diri. Kini, persetujuan telah diterima.

Dia adalah pelatihku. Namanya cukup unik, Bellvinna Deana Jommey. Wajahnya polos, naïf dan seperti orang yang tidak punya perasaan. Aku tidak pernah menduga aku akan mengenalinya sehingga dia mampu memberikan aku inspirasi yang mengharukan.



Waktu kali pertama aku mengenali dia, semuanya biasa. Dia dilantik menjadi Penghuluwati, satu jawatan yang mungkin dianggap bencana baginya. Kenapa aku berkata begitu, kerana dia selalu menyuarakan dia tidak rela untuk jawatan penting itu. Kebetulan, dia diletakkan dibawah Kompeni seliaanku bersama jurulatih lain.

Ketika dia mendapat teguran dari seorang jurulatih, aku datang ke dorm hanya sekadar untuk meronda. Dia berbaring namun matanya tidak lelap seperti memikirkan sesuatu. Sempat aku bertanyakan sesuatu dan anak matanya yang kosong seperti dipenuhi oleh cerita yang menarik naluriku. Sebelum aku berlalu pergi, sempat juga aku memberi sedikit kata-kata perangsang. Berharap dia tidak akan putus asa semudah itu untuk menyerahkan mandatnya.

Hari demi hari merapatkan kami. Satu demi satu cerita hidupnya aku cungkil. Sukar. Yah terlalu sukar untuk membuat anak tekaknya itu memuntahkan semua apa yang terbuku dihatinya. Aku tidak juga mahu memaksa. Kerana bagiku, konsep ‘Kepercayaan’ itu perlu aku bina dan bentangkan sehingga dia mengerti.

Sungguh, kesabaran amat diperlukan. Namun ianya berhasil. Syukur.

Satu hari semasa tempoh menjalani latihan, ibunya telah pergi buat selama-lamanya. Dan aku adalah orang pertama yang mendapat tahu. Dari corong telefon, suaranya tenang walaupun dapat aku tangkap nyawanya seperti sedang melayang-layang. Namun ketenangan itu sangat mengkagumkan aku. Tiada bunyi seperti dia sedang menangis atau teresak-esak semasa bicaranya. Hanya tenang untuk menyembunyikan kesedihan.

Sekembalinya dia ke kem, lagaknya seperti biasa. Dan aku juga berkarakter seperti biasa. Hanya suka mengusik dan membuat dia ketawa dan geram dengan sikapku yang suka membuli. Tiada niat untuk membuli namun itu ku anggap ‘pelali’ dari mengenang babak sedih dalam cerita hidupnya.

Tempoh tamat latihan pun menjengah membungakan senyuman dibibir pelatih yang mungkin merasakan kem ini seperti neraka kecil. Tapi jelas, kolam yang bergenang dalam kelopak mata kelihatan dimana-mana.

Dia, pelatih hebatku itu muncul sebagai Wirawati Terbaik dan dia melangkah bangga menerima anugerah dan senyuman itu adalah kemenangan besarku. Aku tahu dan dia tahu, anugerah itu bukan matlamat untuk berada di sini. Nilai yang telah dikutip itu kuharap menjadi pelita kecil baginya. Dan segala kenakalan setiap saat yang kami lakarkan kuharap mampu mengukir senyum buatnya.

Sehingga saat ini, kami masih kekal berhubung. Dia bukan lagi pelatihku. Tapi dia sudah kuanggap seperti adikku. Dia insan kecil yang menginspirasikan tentang sesuatu yang besar pengertiannya. Tentang ketenangan dan tentang kesabaran.





p/s; Sis sayang kamu.