Sabtu, 14 September 2013

aku mahu jadi ASET bukan PARASIT

Sepanjang aku bergelar jurulatih, banyak impak dalam diri. Paling utama ialah sikap. Membimbing pelatih mengubah sikap membuat aku terbimbing sekali. Terkadang bila berhujah, terasa juga seolah meludah ke langit. Ludahnya terkena muka sendiri. Itu yang buat aku rasa jijik-jijik sendiri dalam hati.

Disiplin dan komitmen. Itu yang aku mahu tebalkan dalam diri. Kerja berpasukan sangat menyeronokkan kerana itu yang membuat aku terlupa pada sakit kerinduan dengan keluarga. Namun, bila ada segelintir yang cuba 'menjolok' cuba meruntuhkan jati diri, itu yang paling sedih. 

Semakin lama sepatutnya semakin berkualiti kan? Tapi biasalah, bekerja dengan manusia. Apapun, aku tidak mahu melihat kepada itu apalagi jadi seperti begitu. Aku mahu tampil komited dan selalu komited sebab matlamat aku dalam pasukan PERMATA ini ialah menjadi Aset bukan Parasit. 

Tanya diri, teguhkan jati diri.

Ahad, 1 September 2013

aku mohon keajaiban

Allah, aku percaya Kau. Sepenuhnya aku percaya. Saat ini, aku lemah. Terlalu berat untuk menanggung ujianMu untuk yang sekali ini.

Lalu, tiada yang lebih aku percaya selain kembali kepadaMu walaupun dalam keadaan yang paling hina. Selamatkan dia. Berikan kami senyum gembira yang paling lega. Selamatkan lah ya Allah. Keajaiban itu ada padaMu. Aku mohon yang satu ini. 

Selasa, 30 Julai 2013

hanya aku yang sugul

Setelah aku membiarkan blog ini sunyi tanpa sepatah kata, akhirnya pada malam ke 21 Ramadhan ini aku mengangkat jari yang berat untuk menari-nari di atas papan kekunci.

Usiaku tahun ini sudah menjengah 26 tahun. Namun, seringkali aku mengamati siapa aku? Aku hanya seorang wanita yang biasa-biasa yang kabur pada pemandangan duniawi. Melihat rakan-rakan lain yang mungkin lebih berjaya daripada aku, aku jadi cemburu. Bukan dengki, cuma sedikit rasa terendah diri. 

Sesungguhnya, aku tidak tahu untuk menjelaskan bagaimana perasaanku sekarang.

Terima kasih kepada pemilik blog yang ku baca tadi, terpukul dengan kata-katanya, 'Kita mesti bersangka baik pada Allah' Terima Kasih. Rakan sepermainanku itu, kini sedang berkhidmat di Tanah Arab. Tahniah.

Berbalik kepada aku, ya aku hanyalah seorang jurulatih multiskill. Berkhidmat dengan kerajaan. Orang kata, kerja dengan kerajaan ni terjamin. Well, tidak dinafikan itu. Keghairahanku pula lebih kepada perkongsian bersama pelatih. Sungguh, itu menyeronokkan. 

Namun, yang terkadang membuat aku berkecil hati, apabila minat menjadi pertikaian. Kerjayaku dianggap ringan apalagi jika dibandingkan dengan Sijil Ijazahku yang tinggal terselit dimuka paling depan dalam fail. Sungguh, itu mendukacitakan. Ibu dan ayah juga yang paling membebaskan aku. Tidak kisah aku mahu kerja apa janji halal. Terima kasih.

Dan aku mencari sesuatu yang kosong dalam relung hati. Mengharap cintaNya membekas dalam naluri agar aku bisa mencium jannahMu seperti yang telah Engkau janjikan. Namun, aku selalu tewass. Kerana aku hanyalah aku yang masih sugul

Ahad, 14 Julai 2013

kecil hati

Ada kalanya dalam kita leka mewarnai kasih sayang, kita terlupa kasih sayang itu sifatnya tamak dan rapuh. Mudah tercalar jika tak betul cara menatangnya.

Bicara maaf sudah muak untuk didengar dan umpama tidak ada lagi maknanya. Setiap sesuatu yang bermula pasti ada garis batasnya. Dan mungkin, aku sudah sampai di perbatasan ini.

Berat. Memang cukup berat.

Helahan nafas terlalu perit untuk berhembus. Aku masih tertanya-tanya, apakah kesudahan disebalik semua ini. Mungkin kah, ianya perlu terjadi sekali lagi?

Apapun, kepadamu adik semoga berjaya dengan cemerlang. Sekian.

p/s; kecil hati :(

Sabtu, 13 Julai 2013

fikir-fikir

Satu bulan lebih bercuti sejak kumpulan 2 melabuhkan tirainya pada 21 Jun yang lalu. Bagi para jurulatih PLKN seluruh Malaysia, ini lah masa yang sesuai untuk melepas segala rindu dan meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Tempoh 12 minggu untuk setiap kumpulan itu memang perit untuk dilalui. Hanya kami-kami yang mengerti perasaan kami-kami. Setiap hari ibarat pergi kerja membawa matahari dan pulang mengusung bulan. Begitulah. Dan andai ada yang kata, kerjaya kami-kami ini banyak cutinya, sebenarnya cuti kami-kami ini adalah cuti gantian setelah mengira waktu kerja lebih masa yang kami buat dalam tempoh 12 minggu itu. Kami pun penjawat awam juga. Kelayakan cuti tahunan 25 hari sahaja. Kami tersadai dirumah berbulan-bulan adalah releven dengan keperitan dan pengorbanan kami.

Fuh. Panjang lebar penjelasan. And so defensif la me! What everrrr. (Tiba-tiba. Kalau tak faham, hangguk ja )

Setiap kali cuti, mesti ambik masa refleksi diri. Nak rehatkan badan, bagi aku cukuplah seminggu ja. Cukup seminggu aku dah jadi macam meroyan sendiri tak tau nak sedekah masa kat sapa. So free la kata kan.

Syukurlah, sekarang time Ramadhan. Bila Ramadhan, mood macam baik sikitt. Sikitt lah. Rasa macam swing-swing gitew. 

Tapi, aku rindu pada perasaan aku yang begitu mendalam dan 'dekat' pada Tuhan time 2011 lepas. Perasaan yang sangat humble akibat 'ujian' Tuhan yang mengheret aku ke lubuk serendah-rendah kalbu.

Sekarang? Entah. Macam tidak macam dulu lagi.

Isnin, 3 Jun 2013

teman pengganti

Kawan.

Semalam bila kau call. Aneh sungguh perasaan ini. Janggal pun ada. Hilang sudah bunga-bunganya. Khabarmu yang lama sudah aku tidak tahu, tiba-tiba kau datang menjelma. Kenapa?

Ruang yang kau berikan telah terlalu lama. Hati kosong yang kau pernah tinggalkan sudah ada isinya. Wangi dan indah. Memelihara perasaan ini semahunya dia. Terbelai dengan rasa sayang yang aku tidak pernah miliki dan tidak akan mampu kau beri sampai kapan pun.

Namamu. Tinggal dalam lakaran lipatan babak cerita hidupku yang masih panjang. Pernah, aku inginkan kisah hidup ini berakhir bersama namamu dan cerita kita yang indah. Sebuah persahabatan yang generasi kita akan bangga. Namun, aku sudah tidak mampu menuntun egomu yang terlalu lama.

Hari ini, Yuyul sudah terlalu bahagia. Cukup bahagia sehingga tidak ada lagi ruang untuk kau tata hias. Sempurna tanpa hadirmu.

Selamat pengantin baru. Maaf aku tidak menginginkan untuk hadir kerana kau bukan lagi keutamaanku. Sekian salam berbahagia masing-masing.

Ahad, 2 Jun 2013

ok sedih

Tak tahu nak fikir macam mana. Penat. Kesal? Tidak juga. Mungkin sedikit kecewa. Tapi apa lah daya, aku bukan siapa-siapa. Hanya menumpang. Mana-mana mahkamah pun takkan boleh bagi aku menang. Aku cuma aku. Dan kau yang sangat indah lagi tak ternilai. Aku tatang seperti minyak yang penuh. Takkan tumpah walau setitik pun malah angin pun takkan bisa memberi cela pada wajahmu.

Akhirnya aku akur juga. Letakku pada sekeping hati.

Takkan bisa aku meraja.

p/s; happy always adik. :(

Jumaat, 24 Mei 2013

penat

Dah tak larat. Demam. Ok. Ini ujian kot. 

Tapi aku dah cuba sehabis baik dah pun. Korang kalau tak nak, tinggalkan jer lah. Kalau nak, ambik. Sebab aku memang ikhlas nak bagi.

Bila dah tiba saat itu, thats it. No more me. And you deserve for your life.

Bertindak jangan ikut emosi. Tak ada apa yang akan jadi. Trust me. Make it smooth.

And, miss you adik :(

Sabtu, 4 Mei 2013

berpolitik sekejap, hanya sekadar pandangan

Ok mana nak start ni. Aku mengaku, aku rakyat Malaysia. Banyak jugaklah yang negara bagi. Aku sendiri pun penjawat awam. Kerja dengan kerajaan. Hidup serba serbi kerajaan bagi.

Ada orang kata, kalau undi pihak pembangkang, ibarat tak kenang budi. Jap, emmmm. Sapa punya budi yang tak dikenang ni? Bukankah kerajaan tu dapat duit dari cukai dan segala bagai cukai yang rakyat bayar?

Dan kalau nak menyentuh isu pembangunan, adakah dengan mengundi pembangkang negara tidak  lagi membangun?

Ini soal keadilan dan kebersihan dalam pentadbiran. Rakyat diberi pendidikan supaya dapat berfikir. So why not? Kalau isu ancaman kuasa asing dari luar negara, simply say aku mau cakap, 'Jangan cakap pasal perjuangan kalau takut pada perubahan.' Semua pun nak cakap pasal hak, tapi nak pertikai hak orang. 

Saya hormati pandangan anda, ini pandangan saya.

Jumaat, 3 Mei 2013

balik mengundi

Selepas lebih 9 jam dalam bas berjenama Optisjaya, akhirnya kaki aku mencecah juga bumi Tawau ini untuk tempoh masa yang singkat bagi melunaskan tanggungjawab mengundi untuk yang pertama kalinya. Tidak akan aku lepaskan peluang ini.

Sakit terasa tengkuk dek tidur di kerusi bas. Perit sungguh rasanya. Mujurlah adik kesayangan hamba ada memberikan minyak angin yang sangat melegakan itu. Tengkiu adik. ^ ^

Dan kepulangan ini juga bagi menghadiri sesi temuduga untuk penjawatan yang lain dalam kerajaan. Walaupun hati tidak begitu ikhlas, seruan dari semua pihak membuatkan aku akur. Cuba yang terbaik. 

Dah lama tak update blog neh. Rasa cam janggal jugak nak mengatur ayat. - -' Apapun, jom kita mengundi! Teka saya undi siapa? Ini kali lah.

Sabtu, 27 April 2013

Bravo

Ketika aku sedang mengacukan gunting pada kain bercorak kesayangan mereka, bibir-bibir itu terketar melihat kekejaman aku. Menahan sakit hati dan penyesalan yang tak sudah mereka kenangkan. Lalu, Flo yang penat merayu 'cikgu jangan...' mula melutut dan diikuti oleh yang lain. Butir-butir mutiara itu meluluhkan aku. Terketar sedikit jari ini dan mengalir jus kehibaan dari relung hati yang paling dalam. 

Sungguh. Bukan niat cikgu begitu. Semoga kamu lebih peka dengan amanah. Semoga janji kamu bukan sekadar janji biasa. Kami juga hampir lelah melihat kamu yang betah.

Dari Alpha ke Bravo. Aku akui, tanggungjawab ini kepada kamu sudah Bravo ku.

Kemari, katakan apa yang kamu mahu. Aku tadahkan seperti apa layaknya.

p/s; to Gegirl my Adik, miss your presence here...

Sabtu, 6 April 2013

masa sudah berubah, hati pun juga sama

Semalam bila kau call, aku rasa terkejut. Aku jawab dengan perasaan yang ragu-ragu dan serba hambar yang besar. Menjawab segala pertanyaan ala kadar. Memang tidak akan pernah melupakan kau. Namun, ketahuilah, hati sudah berubah mengikut peredaran masa dek jarak yang kau reka tanpa aku rela.

Hari ini, aku yuyul yang lain. Yuyul yang bangun dan sudah tidak memerlukanmu. Maaf, kepentinganku bukan lagi untuk namamu. Telah penuh untuk insan yang tahu menghargai diri ini.

Dan aku tau, kau lebih mampu. Aku hanya serpihan debu yang tidak laku.

Selasa, 26 Mac 2013

lawan untuk hak, katernyer

Ntah sejak nak mengundi ni, semua lagu yang aku dengar berirama politik. Udara yang aku sedut juga berbau politik. Muakk.

Fikir sendiri lah.

Kau nilai balik apa yang kau dapat tu sama tak dengan hak kau yang sepatutnya. Arghhh sudah. muntah dah    dekat hujung tekak.

Lawan untuk hak. Cukup. Sapa pun yang naik, kalau memimpin untuk hak, sepatutnya tak perlu ada masalah. 

Ok. Aku pun bosan nak menaip siri tak tentu nehh.

Rabu, 20 Mac 2013

masa depan

Rumah. Bila terfikirkan rumah, inilah tempat aku berehat mental dan fizikal dari terus memikirkan kem. Tapi ironiknya, bila terlalu lama di rumah, rasa rindu pulak untuk berceloteh dihadapan puluhan pelatih. Manusia. Memang serba tidak puas itu dan ini.

Berada dirumah juga menyebabkan aku terlalu banyak memikirkan masa depan yang kabur-kabur. Memikirkan apakah cara untuk menyenangkan orang tua yang telah berkorban usia mendewasakan aku selama ini. Serabut. Dan terkadang aku terfikir perihal kawan-kawan yang seusiaku menamatkan zaman bujangnya malah telah mendukung cahaya mata pertama. Langsung tidak menggugat aku malah aku terfikir, cukup bersediakah mereka? Sedangkan aku masih lagi memikirkan duniawi ini. Entah. Tapi kata orang, lepas berkahwin murah rezekinya. Samada ya atau tidak, satu jawapan dari aku, belum bersedia. Keinginan ada tapi bukan sekarang. 

Banyak azam yang aku tanamkan untuk tahun ini. Lesen memandu entah bila nak ambik. Asyik sibuk sahaja. Erghhhh! 

Dan perihal adik kesayangan hamba, Bellvinna itu, sekarang dia tengah ambik kursus di Plaza Tanjung Aru. Beberapa hari terlalu merisaukan si budak polos itu akhirnya aku dah boleh tarik nafas lega. Harap-harapnya dia okey. Macam yang dia cakap, 'Biarla saya belajar hidup susah sis... Bila lagi saya mau belajar..?' Mungkin dia betul. Tapi untuk melihat dia melaui proses itu, memang cukup mendebarkan aku. 

Entri ini sekadar mahu memuntahkan sedikit kegusaran yang membelenggu diri. Terima kasih sebab baca. Selamat malam sayang-sayangku.

Sabtu, 16 Mac 2013

sendu

Melepaskan sudah pelatih pergi. Selesai lagi satu tanggungjawab yang berat. Entah kenapa kali ini, leganya lain macam saja. Mungkin kerana bilangan mereka yang terlalu ramai menyebabkan aku dan kami rasa tidak begitu tertanggung membelai nyawa-nyawa itu. Lalu saat tamat latihan ini, menjadi penantian kami.

Syukur. Ia sudah berakhir. Kembalilah ke pangkuan keluarga dengan nilai-nilai yang kami telah berikan. Moga mampu memberi kesan yang dalam.

Itu satu cerita.

Yang kedua, perihal adik aku yang seorang ini ntah kenapa merisaukan aku. Melepaskan dia pergi, ada bimbang yang berselubung dalam. Cuba mencari kelegaan, namun masih ada kerisauan yang tidak mahu menjauh. Sendu ditangkai kalbu.

Semoga kau baik-baik sahaja sayanggg.

Jumaat, 8 Mac 2013

loving you

Eventhough sometimes I feel hard to keep loving you but truly is I feel even harder to not feels you around...

Khamis, 7 Mac 2013

pelatih hebatku Bellvinna

Telah agak lama aku ingin menulis tentang dia ini. Namun, aku terkekang dek waktu dan kebuntuan perkataan untuk aku karang disini. Lagi pula, aku rasa aku perlu meminta persetujuan empunya diri. Kini, persetujuan telah diterima.

Dia adalah pelatihku. Namanya cukup unik, Bellvinna Deana Jommey. Wajahnya polos, naïf dan seperti orang yang tidak punya perasaan. Aku tidak pernah menduga aku akan mengenalinya sehingga dia mampu memberikan aku inspirasi yang mengharukan.



Waktu kali pertama aku mengenali dia, semuanya biasa. Dia dilantik menjadi Penghuluwati, satu jawatan yang mungkin dianggap bencana baginya. Kenapa aku berkata begitu, kerana dia selalu menyuarakan dia tidak rela untuk jawatan penting itu. Kebetulan, dia diletakkan dibawah Kompeni seliaanku bersama jurulatih lain.

Ketika dia mendapat teguran dari seorang jurulatih, aku datang ke dorm hanya sekadar untuk meronda. Dia berbaring namun matanya tidak lelap seperti memikirkan sesuatu. Sempat aku bertanyakan sesuatu dan anak matanya yang kosong seperti dipenuhi oleh cerita yang menarik naluriku. Sebelum aku berlalu pergi, sempat juga aku memberi sedikit kata-kata perangsang. Berharap dia tidak akan putus asa semudah itu untuk menyerahkan mandatnya.

Hari demi hari merapatkan kami. Satu demi satu cerita hidupnya aku cungkil. Sukar. Yah terlalu sukar untuk membuat anak tekaknya itu memuntahkan semua apa yang terbuku dihatinya. Aku tidak juga mahu memaksa. Kerana bagiku, konsep ‘Kepercayaan’ itu perlu aku bina dan bentangkan sehingga dia mengerti.

Sungguh, kesabaran amat diperlukan. Namun ianya berhasil. Syukur.

Satu hari semasa tempoh menjalani latihan, ibunya telah pergi buat selama-lamanya. Dan aku adalah orang pertama yang mendapat tahu. Dari corong telefon, suaranya tenang walaupun dapat aku tangkap nyawanya seperti sedang melayang-layang. Namun ketenangan itu sangat mengkagumkan aku. Tiada bunyi seperti dia sedang menangis atau teresak-esak semasa bicaranya. Hanya tenang untuk menyembunyikan kesedihan.

Sekembalinya dia ke kem, lagaknya seperti biasa. Dan aku juga berkarakter seperti biasa. Hanya suka mengusik dan membuat dia ketawa dan geram dengan sikapku yang suka membuli. Tiada niat untuk membuli namun itu ku anggap ‘pelali’ dari mengenang babak sedih dalam cerita hidupnya.

Tempoh tamat latihan pun menjengah membungakan senyuman dibibir pelatih yang mungkin merasakan kem ini seperti neraka kecil. Tapi jelas, kolam yang bergenang dalam kelopak mata kelihatan dimana-mana.

Dia, pelatih hebatku itu muncul sebagai Wirawati Terbaik dan dia melangkah bangga menerima anugerah dan senyuman itu adalah kemenangan besarku. Aku tahu dan dia tahu, anugerah itu bukan matlamat untuk berada di sini. Nilai yang telah dikutip itu kuharap menjadi pelita kecil baginya. Dan segala kenakalan setiap saat yang kami lakarkan kuharap mampu mengukir senyum buatnya.

Sehingga saat ini, kami masih kekal berhubung. Dia bukan lagi pelatihku. Tapi dia sudah kuanggap seperti adikku. Dia insan kecil yang menginspirasikan tentang sesuatu yang besar pengertiannya. Tentang ketenangan dan tentang kesabaran.





p/s; Sis sayang kamu.

Sabtu, 16 Februari 2013

aku ada kerna kau pun ada

Kata orang, yang patah akan tumbuh yang hilang akan berganti. Mungkin betul. Bagi aku yang mengganti ini tidak sama dan tidak akan sama dengan yang patah. Namun, kelegaan itu tetap lain macam juga rasanya. Kerana mungkin semuanya kerana ikhlas. Entah.

Apapun, sungguh aku gembira. Syukur yang amat. 

Sekarang, sibuk mengurus pewaris Perisai Zaman. Macam-macam gelagat. Ada yang mencuit hati ada juga yang menggores naluri dan mencabar mental. Namun ini adalah hakikat disebalik nikmat-nikmat yang aku sejat. 

Lalu aku ingin tabah sahaja. Aku ingin kuat sahaja dan yang paling aku mahu ialah tampil bersahaja. Lagak senyum sambil perasan macam yang paling cute di atas muka bumi Tuhan ini. 

p/s; Aku ada kerna kau pun ada.