Selasa, 28 Februari 2012

sedia maklum aku budak IT

Semua mungkin sedia maklum aku lulusan Teknologi Maklumat. Semua sedia maklum itu maksudnya aku orang IT. Semua mungkin sedia maklum aku bijak lah sangat dalam perihal komputer (padahal). Tapi adakah semua sedia maklum bidang sains komputer terbahagi kepada dua? Software dan hardware. Dan adakah semua sedia maklum bahawa aku lebih tertumpu kepada software sahaja? Dan adakah semua sedia maklum aku tidak begitu menggemari bidang yang aku telah pelajari?

Tahukah kamu bahawa setiap kali kalian berprasangka aku bijak format labtop, bijak photoshop, bijak movie maker dan seumpamanya lah yang berkaitan skill komputer yang kalian anggap aku miliki, itu adalah satu beban dan sepertinya membogelkan diriku jika aku menjawab, 'tidak tahu' atau 'tidak pandai'?

Tahukah bahawa itu beban bagiku?

Tahukah bahawa aku sentiasa mahu mengelak dari membangunkan sebuah sistem? 

Bila Kasmah memerli aku, aduhhh 'terbakar' akal warasku. Tengoklah, nanti aku akan belajar semua. Tengoklah. Nanti aku akan tajamkan semua skill aku. Tengoklah.

Si Niniey yang lulusan Business Management itu sendiri sibuk belajar itu, belajar ini pasal IT. Malah dia lebih tahu pasal software yang aku miliki. Bukan kah itu sangat memalukan? Eh, tapi kerana minatnya itu juga telah membakar dan menyuntik aku untuk lebih maju dalam bidang aku sendiri.

Aku sudah tidak boleh lari. Ter-ikattt. Ketat.

Isnin, 27 Februari 2012

tak perlu banyak bicara

Kita tak perlu banyak bicara rupanya. Kita sangat berbeza. Kau ajar aku itu. Tentang percaya dan setia. Terima kasih.

Keras hati yang tidak mahu mengerti akhirnya lembut sendiri. Degil kan? Kau pun. Tapi aku menghargai kau kerana itu. Kerana kau selalu tahu untuk membuat aku mengerti.

Lucu. Seorang budak nakal mampu mengajar aku erti sabar dan bertenang. Yang sanggup mendengar semua keluh kesah aku.

Ya Allah. Sayangnya aku pada kau. Kurniaan apakah ini? Terlalu sayang hinggakan sangat berat untuk ku lepas. 

Jumaat, 24 Februari 2012

ironik

Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi manusia yang berpura-pura kalau dalam hati itu masih ada rasa-rasa baik dan rindu. Berpura-pura menghambur ketawa di depan semua. Sukar.

Rutin harian aku seperti biasa sejak minggu lalu. UMS dari 8 pagi hingga 5 petang. Balik rumah, mandi, basuh baju, dan aktiviti rutin mengemas. 

Kelmarin sebaik selesai mandi, aku masuk ke bilik. Aku melihat Kasmah dan Suer sudah ada di situ. Bersembang seperti selalu. Suer terlebih dahulu meminta maaf kerana telah menghabiskan pisang goreng.  Aku hanya senyum seperti tiada perasaan. Tiba-tiba, Suer dan Kasmah 'mengayat', 'yul, I love you..' 'yul, I miss you..'. Tika itu aku sedang bersiap menyarung pakaian. Terasa ironik. 'Apa hal kamu dua nie? Tiba-tiba plak.' Kataku hairan.

Kasmah menjawab. 'Aku gembira sebab kau tukar line Celcom'. Suer menyampuk, 'Jimat kos kami.'

Sengal.

Malam akan mengambil tempat. Lalu aku mencari bulan. Bulan tidak kelihatan semalam. Aku kembali ke ruang tamu dimana ada wajah-wajah rakan serumah sedang rancak berbual sambil menikmati cempedak goreng dan ubi goreng. Riuh suasana sebaik kami mula bergurau sambil menonton tv. 

Seketika kesakitan itu hilang juga.

Walau sementara.

p/s; entri terabur

Rabu, 22 Februari 2012

kerana merah jambu itu menyerlahkan ke'ayu'an ku


Di pejabat bersama rakan ketika sedang menjalani rutin. Kebetulan dalam tema warna ayu yang sama.

Selasa, 21 Februari 2012

fikir

Duduk di satu sudut sofa. Melayari dunia maya ini sambil memerhati gelagat rakan dalam suasana sepi yang tidak ramai kelibat manusia. 

Pelik.

Di rumah sewa aku lain pula riuhnya. Wajah-wajah ceria dan tebaran gurau senda cukup untuk menjadi penawar kala rindu bertamu pada mereka-mereka yang terlekat namanya di hati. 

Kecewa.

Kerana yang serasi bukan disisi. Masih cuba untuk dekat walaupun sudah lama selalu berdampingan. Namanya juga tidak kena di hati. Jadi, segalanya nampak lebih sumbing disana sini.

Terpulang lah.

Aku masih memikirkan kata-kata kawan aku tentang perangai temannya. Apa yang keluar dibibir itu 80% datang dari hati. Kau percaya? Siapa yang mampu memendam rasa terlalu lama? Wah, hipokrit atau berpura-pura?

Fikir.

p/s; aku lihat tanda soal di kepala mu kerana baca entri ini.

Isnin, 20 Februari 2012

IT lagi

Seminggu sudah aku di sini. Di KK ini. Bukan Kuala Kangsar tapi Kota Kinabalu. Menjalani fasa baru, menggilap bakat dan skill yang ada. Ini lah masanya untuk mempraktikkan segalanya.

Aku. Kelihatannya belum mampu lagi lari dari latar belakang aku. Information Technology. Sekali lagi menggalasi tugas programmer. Kononnya lah. Bunyi macammm minta-puji. 

Kali ini bergandingan dengan Dyg Atiqah. Rakan Sarawakian yang aku kenal waktu program GEMS hari tu. Seorang teman yang mengajar aku mengimplementasikan makna 'laju' dan 'proaktif' bila bekerja. 

Masih belum cukup layak untuk menilai tahap keserasian kami kerana tugas belum sampai ke kemuncak. Belum sampai di bawah tertekan. Jadi tunggu saja waktu itu tiba. Kerana mengikut pengalaman aku yang sudah-sudah, gandingan sepadanku adalah mereka yang punya sifat 'sejuk' seperti Biha, Gja dan Niniey. Yang hanya diam dan mendengar percikan 'api' dari aku. 

Kalau kenal aku, masih ingat apa jadi antara aku dengan Zetty? Antara aku dengan Dolly? Antara aku dengan Nadie? 

Senyum saja lah.

Isnin, 6 Februari 2012

wajah baru sentuhan kawanku, suer

Senyum aku melihat wajah baru blog aku nie. Sesungguhnya wajah baru ini hasil sentuhan kawan aku si Suer. Kerana katanya, blog aku harus dikenali. Harus punya follower yang ramai barangkali. Tapi pada aku, aku menulis bukan kerana mahu perhatian. Aku menulis kerana luahan akibat pemikiran yang ingin dikongsikan kepada sesiapa yang benar-benar mahu tahu.

Apapun, aku relakan Suer untuk redesign blog aku ini sebagai tanda penghargaan kerana dia betul-betul mahukannya.

Lihat saja pada wajah baru ini menjadikan aku sedikit janggal. Terasa blog ini bukan aku yang punya. Sudah sedikit lari dari 'sifat' aku yang lebih sederhana. Jelas memaparkan ia bukan aku. Cuma coretannya sahaja yang menunjukkan itu.

p/s; thanks Suer 

Sabtu, 4 Februari 2012

kerana mata tidak mahu lelap

Saat aku mengetik papan kekunci, jam sudah menunjukkan 1.49 pagi dan mata masih mahu mengangkang. Mungkin terlebih minum nescafe. Tapi ada sesuatu yang berlegar-legar didalam fikiran. Tentang placement GEMS, tentang masalah baru-baru ini dan tentang dia si kawanku itu.

Semua yang berkecamuk ini menghalang minda aku dari berehat. Aku jadi gundah sendiri. Inginku khabarkan kepada teman, namun siapa lah yang sudi mendengar keluh-kesah ini.

Ada juga sedikit-sedikit rasa berkecil hati namun tidak tahu untuk memprotes rasa seperti apa. Orang kata, kalau merajuk biarlah pada yang sayang. Lalu, pantas atau tidak aku merajuk pada seseorang yang aku tidak tahu setebal apakah sayangnya pada aku. Atau tersenarai kah aku sebagai yang disayang dihatinya? 

Permasalahan keluarga pula kian selesai. Cuma yang tidak akan hapus adalah kudisnya. Dan itu menjadikan aku lebih termotivasi untuk menjadi penawar bagi menghilangkan kudis itu. Kata pepatah, 'Bila kita buat baik, belum tentu orang akan ingat tapi bila kita buat jahat, orang takkan pernah lupa'. Ini lah hidup.

Setiap yang pahit mengambil masa yang panjang untuk ditelan. Hanya masa dan cara kita untuk mengubahnya. Aku masih perlukan waktu untuk semua ini. Moga-moga kalian faham dan terus menunggu aku. Aku pasti tiba. Pasti. Bersabar lah.

Khamis, 2 Februari 2012

sebenarnya aku sayang

Sudah masuk tiga malam. Aku cuba menahan dan cuba menegaskan dia lebih baik berada di situ. Tidak perlu di sini. Benci? Tidak. Marah? Mungkin. Kecewa? Itu pasti. Lebih kecewa kerana dia adalah yang paling disayang. Semua mahu ambil peduli. Orang sanggup berbalah kerana dia seorang. Tapi ini yang dia lakukan.

Semalam, entah kenapa semua memori dan kelibat dia seolah-olah menerjah pandangan. Dalam-dalam ada rasa sayu kasihan mengenangkan nasib dia disana. Aku menangis sendiri sebelum melelapkan mata. Jalan ini yang kau pilih. Kenapa lah? Dan di situ lah pengajaran yang kau terima. Semoga ada penyesalan dan yang lebih baik menyusul kemudian.

Hati bonda sangat kecewa. Hati Nenda terluka. Hati ayahanda marah. Hati aku bertanya aku harus bagaimana?

Walau apapun, air dicincang tidak akan putus. Bangun dan sedar lah! Bina masa depanmu. Aku doakan.