Ahad, 21 Ogos 2011

di situ saja

Pada aku, cukup ia di situ-situ saja. Tak perlu dekat lagi. Cukup lah di situ. Aku tak pernah pasti ia akan membaik seperti kala dulu. Air yang sudah keruh, tidak lagi mudah untuk jernih. Kalau jernih pun, jernih nya tidak seperti dulu. Tidak seperti apa yang aku mahu.

Saat aku sudah hambar. Tawar. Waktu aku kepingin mendengar kamu, konflik menjadi tembok. Saat-saat kepingin itu tidak lagi memberontak. Kalau ada pun, hanya pada pinggir tangkai hati yang paling tepi.

Aku benar-benar pasti, aku sudah tidak ingin kamu. Berdiri di situ-situ saja friend-dear. Di situ saja. Jangan hampir walau setapak.

Khamis, 18 Ogos 2011

walaupun sekiranya nanti

Walaupun sekiranya nanti
hidung tidak lagi larat menyumbat udara
jantung sudah penat mengepam darah
Ku harap jiwa ini akan tetap setia dan redha.

Walaupun sekiranya nanti
bibir tidak lagi betah bersuara
akal sudah lelah memikir dunia
Ku harap hati ini akan tetap tabah dan cinta.

Walaupun sekiranya nanti
jari tidak lagi sudi mencoret puisi
perasaan ini sudah tiada bunga-bunganya
Ku harap memori ini akan tetap ada dan berwarna.

Walaupun sekiranya nanti
bayangku tidak lagi mengekori realitimu
jasadku sudah tidak kelihatan depan mata
Ku harap hikayatku akan tetap ikhlas menuntunmu keakhirnya.

Walaupun sekiranya nanti
apa sahaja yang boleh terjadi
dan kau rasa sudah separuh mati
Ku harap kau ingat padaku yang kelemasan di sini.

coretan aku Yulie Nurafnie

Selasa, 16 Ogos 2011

rajuk

Duduk mengadap langit
Tunduk melihat diri.

Aku seperti merajuk dengan Tuhan
tapi merajuk itu harus pada yang sayang
ku tahu
Tuhan mungkin tidak sayang padaku
rajuk ku hanya sia-sia.

Dia uji aku, Dia uji aku, Dia uji aku
pujuk hatiku sendiri.

coretan aku Yulie Nurafnie

Ahad, 14 Ogos 2011

bila roda sedang di bawah

'Kalau kau datang interview, confirm kau dalam list!'

'Aku bukannya ndak pernah tengok cara kau bercakap. Kadang-kadang aku sendiri pun terkedu. High level confident kau kan tinggi.'
-Aida-

Ada masa, orang lain lebih tahu apa yang kita perlu. Ada masa, orang lain lebih nampak apa yang kita ada. Tika dunia ini seakan runtuh, setidaknya kita tahu ada sekeping dua hati yang mengerti. Ada sepasang dua telinga yang mendengar. Ada sepasang dua mata yang turut berair. Setidak-tidaknya ada. 

Aku ini tidak pernah mengharap sedihku ditangisi. Tidak pernah mengharap orang lain terasa berat beban yang aku pikul sendiri. 

Kamu lihat aku sedang ketawa. Ketawa sahaja lah yang menjadi mahuku. Walaupun, setiap hari yang berlalu aku hitung dengan perit. Waktu aku memejamkan mata melabuhkan tirai malamku, aku akan berkata 'Rugi lagi sehari.' Dan waktu pagi menjengah hari baru, hati ini mengharap hari itu adalah milikku, 'Sampaikan berita gembira kepadaku Tuhan.'

Sebab itu,

aku katakan pada Zetty beberapa malam yang sudah, 'Kalau kau rasa hidup kau susah, ingatlah aku yang sedang bertarung hidup ini di sini sebab kau jauh lebih beruntung.

Waktu ini rodaku sedang di posisi bawah.

Sabtu, 13 Ogos 2011

p.s I still love U

Selepas aku bercakap dengan dia, aku duduk seketika diam tanpa kata. Memikirkan semua yang telah terjadi. Dari titik mula hingga ke titik sesudah akhir ini. Bingung. Keliru. Penuh persoalan yang aku ingin tahu tapi aku tak mahu tanya.

Aku suka cara dia mengingati semua tentang aku. Semua yang aku sangka dia sudah lupa.

Kerana itu, mungkin kerana itu aku tak pernah bisa menghapus bayangannya. Tak pernah. Kita padam nama dia macam mana sekalipun, kita buang tanda kenangan dia macam mana sekalipun, tapi kalau dalam hati masih ada, tetap akan ada. 

Akhirnya aku sudah mengerti tentang kejahilan aku sendiri. Tentang pengertian kekejaman dia. Semua berlaku dengan sebab. Hanya mungkin kita yang belum cukup kenal. Kerana kita terlalu mementingkan ego sendiri. Terlalu mendesak untuk kemahuan hati. Sedangkan semua jawapan sudah depan mata.

Penafian akan tetap penafian dari bibir mulus kita. Tapi kebenaran tetap kebenaran yang tercoret dari hati kita. Menafikan kebenaran adalah alasan. Dan aku tidak mahu beralasan lagi. Kerana jelas di sini, aku memang masih sayang. Walaupun tidak seperti dulu tapi ia masih sayang yang itu. Noktah.

p.s I still love You.

Jumaat, 12 Ogos 2011

kemalasan

Tanah yang basah bukti langit telah menangis malam tadi kelihatan saat aku menyelak tirai jendela. Tiada kelibat mentari tatkala mak menyidai kain di jemuran. Mungkin mentari masih merajuk. Mungkin mentari masih tidak punya mood untuk senyum seperti selalu.



Niat hari ini ingin menyelesaikan baki kerja semalam. Namun entah kenapa hati ini seperti ingin berkabung dengan tangisan langit semalam. Tekad hati lembap seperti cuaca yang lembap basah. Ingin saja tidur tapi mata tidak penat. 


Khamis, 11 Ogos 2011

teringat balik

Teringat satu ketika tak lama dulu waktu terjebak dengan JPMDPP SME Bank UUM. Ada 22 orang ahli semuanya. Masing-masing ada sifat kepimpinan. Yang mantap, yang tak berapa mantap dan yang buat-buat mantap. Tapi tak kisahlah sebab soal kepimpinan bukan isu untuk entri kali ni. 

Sekarang nie aku terjebak dengan kawan-kawan yang agak sering disebut kebelakangan ini. Organisasi kecil yang masih belum tumbuh sayap yang masih tercicit-cicit mahu terbang. Organisasi yang mengamanahkan aku sebagai penerajunya. 

Selalu jugak buat aktiviti bersama. Tapi memang agak payah jugak untuk dibawa berkumpul akibat ketidaksesuaian masa dan halangan. Fade up? Ouh tidaklaa. Tapi sikit-sikit ada la juga. - -'. Tapi kalau ingat-ingat balik waktu JPM dulu, seingat aku hanya waktu Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) sahaja kami 22 orang dapat berkumpul. Mesyuarat seterusnya dan aktiviti lain yang seterusnya dan yang seterusnya sampai genap setahun memang tak pernah ngam 22. Ada saja yang tidak ada. Macam-macam sebab. Kalau sebab tak apalah juga. Yang macam-macam alasan tu yang jadi masalah sikit. 

.
.
.
JPM. Serius aku rindu kamu.

p/s; Entri ni ditulis tiba-tiba tanpa arah tuju. Sengaja dibiarkan tergantung. Takut-takut kontroversi dibangkit balik. Tak perlu tanya apa-apa. Itu saja. ^^

Rabu, 10 Ogos 2011

seperti bukan aku

Bukan aku yang memilih keinginan hati ini
Bukan aku yang melakarkan mimpi dalam anganku ini
Aku rasa
bukan aku.

Aku ini seperti hanya sesuatu yang aku sendiri tidak tahu
melihat-lihat saja jasadku bertindak
membiarkan semua datang
mengawal semua yang berombak

Sekalian mereka menjadi teman
mengajar aku erti ketawa dan keakraban
Seseorang pula menjadi pujaan
mengajar aku erti sayang dan kesetiaan
Sesuatu yang aku tidak pasti kenapa diantara berjuta
kalian-kalian menjadi pilihan
dan aku rasa
itu bukan aku.

Ianya memang aku
tapi seperti bukan aku.

coretan aku Yulie Nurafnie

Selasa, 9 Ogos 2011

rindu

Pelik. Tiba-tiba ada rindu yang menyapu sawang benci dan sakit hati. Entah. Tiba-tiba aku rasa ingin berbual seperti waktu dulu-dulu. 

Ada keinginan untuk mencari tahu. Ada keinginan untuk berbual kosong. Ada keinginan untuk mengesemes.

Ada perasaan untuk memberi penjelasan. Ada keberanian untuk berdepan kenyataan. Ada kesediaan untuk menghadapi kegentaran.

I miss you. Yes, you.

Isnin, 8 Ogos 2011

saat tak mahu lelap

Hampir pukul 3 pagi saat aku mula menaip entri sengal ini. Mata tidak lalu untuk menyantap mimpi. Padahal siang tadi, sesaat pun kepalaku tidak rebah di atas bantal. 

Kedengaran emak sedang berdendangan di dapur menyiapkan santapan sahur untuk Ramadhan yang menjengah hari ke 8 pagi nanti. Kedengaran juga siaran langsung solat tarawikh dari Mekah di kaca tv yang menjadi peneman wajib emak ketika sedang memasak waktu sahur. Rutin biasanya sejak bertahun dulu untuk mengikuti siaran itu. 

Ramadhan kali ini aku harap ia tidak berlalu pantas. Waktu aku rasa diri sudah hampir dewasa begini, hari raya bukan menjadi yang ku nanti-nantikan seperti kala aku masih budak. Yang selalu beralasan ke surau untuk Tarawikh padahal agenda sebenar berlarian dengan kawan-kawan hingusan. Saat yang aku rindui tetap juga aku rindui. Kerana ia tak mungkin aku miliki lagi. Sudah ada generasi baru yang mengganti tradisi itu saban tahun. Generasi nakal yang akan meriuhkan bunyi mercun saat jemaah mengimarahkan masjid. 

Mata ini masih mengangkang segar.

p/s; Selamat bersahur kalian.

Sabtu, 6 Ogos 2011

kedewasaan

Ketika aku mahu menulis lagi, kepala terasa berat sekali sedangkan jari tergesa-gesa mahu menaip. Terdiam. Lupa pada apa yang mahu ku tulis kerana aku terfikirkan dunia dan penghujung dunia ini. Perihal aku dengan penghuni dunia ini. Sesuatu jalan cerita yang skripnya kita lantun sendiri tanpa hafal. Yang lakonannya realiti belaka. 

Mengingat penghujung itu nanti, kadang-kadang membuat aku berpeluh dingin sendiri. Mengalir air mata tanpa tertahan-tahan lagi. Entah. Dosa dan khilaf ini seperti tidak mahu tanggal. Dihapus bersih ia kotor lagi. Sesuatu yang aku cukup benci dan benci untuk menyesali berkali-kali.

Berhati-hati dengan dunia. Pesan seorang pakcik tua. Aku tidak pernah mengambil masa seminit dua untuk meneliti pesanannya itu namun kalimatnya masih lekat di ingatan. Mungkin menunggu untuk aku jamah dan telan henyuk maksud tersiratnya. 

Kedewasaan hanya ukuran pada angka usia. Tapi kedewasaan yang sebenar-benarnya kedewasaan adalah mentaliti kita yang jauh meninggalkan ketidakmatangan dalam pemikiran.

Dewasa kah aku? Kalau kedewasaan itu bermaksud tentang usia, mungkin. Kalau kedewasaan itu bermaksud pada huraianku tadi, mungkin tidak mungkin sedikit ya.

Rabu, 3 Ogos 2011

saja menyapa

Tengah duduk saja-saja depan laptop sambil menunggu teman yang katanya nak chat di YM kejap lagi. Baru selesai jugak bersolat Tarawikh. Ramadhan yang agak seronok berbanding tahun lepas yang aku rasa terpaksa menanggung banyak 'kerugian'. Mungkin jugak sedang dalam bermuhasabah diri tentang kehidupan sendiri.
.
.
.
Aku perhatikan, bulan lepas adalah bulan paling proaktif selama aku berblog. Ada 31 entri berjaya dipaparkan dalam bulan Julai. Purata 1 entri untuk 1 hari. Wowww. Kebanjiran idea. Kalau banjir macam tu lah. Kalau kemarau, mau berbulan-bulan tak berupdate.

Bulan ni mungkin agak slow sedikit. Tak mau tekan minyak lagi dah. Koleksi puisi yang ada, aku simpan dulu. Koleksi cerita yang ada pun, aku simpan dalam almari. Nanti bila rasa nak papar, aku papar lah.

Apapun, terima kasih kepada korang yang sudi like entri aku. Terima kasih sebab sudi baca coretan sepahan ini.

p/s; U suppor I, I support U =)